top of page
  • Writer's pictureNihaba

Kenapa rokok boleh tapi arak tidak boleh?

8 Jun 2021

Baru-baru ini, kecoh diperkatakan oleh segelintir masyarakat apabila rokok dibenarkan untuk terus dijual dengan alasan ketagihan tetapi tidak pula alkohol. Pelbagai dalil dan hujah diguna pakai untuk tetap mahukan arak dibenarkan dijual ketika PKP3.0. Ia bermula apabila sekumpulan ahli parlimen pembangkang mempersoalkan alasan kerajaan untuk membenarkan penjualan rokok pada masa sama melarang penjualan alkohol dalam tempoh sekatan penuh atau 'total lockdown'.


Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid sebelum ini berkata penjualan rokok akan dibenarkan walaupun bukan barang penting untuk "mengelakkan masalah" terhadap golongan yang ketagih rokok telah menimbulkan ketidakpuasan hati dan kekeliruan apabila mereka mempertikaikan yang penagih alkohol juga mengalami gejala ketagihan. Mereka juga mempertikaikan kerajaan pusat apabila mengkategorikan tembakau di bawah keperluan penting tetapi bukan alkohol.


Kenyataan bersama ahli parlimen itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Tuaran Upko Madius Tangau, Ahli Parlimen Warisan Penampang Darell Leiking dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu DAP, Chan Foong Hin. Tegas mereka, tidak boleh ada dwistandard dalam layanan terhadap industri alkohol dan tembakau dalam tempoh sekatan penuh yang bermula pada 1 Jun dan akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya 14 Jun. Jelas mereka lagi, kerajaan tidak boleh mempraktikkan dwiganda di sini. Industri tembakau dan industri alkohol adalah 'barang dosa' yang boleh menyebabkan ketagihan, dijauhi oleh pihak berkuasa agama, dan yang paling penting, kedua-duanya menyumbang kepada cukai.


Isu ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah kekeliruan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Rosol Wahid. Di dalam kenyataannya kepada Astro Awani pada 4 Jun lepas, beliau menjelaskan penjualan arak di kedai runcit seperti 7-Eleven ketika tempoh total lockdown dibenarkan sekiranya mempunyai lesen. Apa yang tidak dibenarkan beroperasi adalah kilang arak dan premis yang khusus menjual arak sepanjang tempoh total lockdown bermula 1 hingga 14 Jun 2021. Jadi, tidak timbul isu dwistandard diantara kebenaran penjualan rokok dan penjualan arak.


Apapun, hujah yang dibuat mereka tentang persamaan ketagihan rokok dan ketagihan arak adalah tidak masuk akal sama sekali. Kenapa? Di sini saya nyatakan kenapa.


Untuk makluman, Malaysia yang mempunyai 56.4 peratus rakyat berbangsa Melayu dan 61.3 peratus beragama Islam telah disenaraikan oleh World Health Organisation (WHO) dalam laporannya pada 2011 sebagai negara pengguna alkohol yang ke-10 terbesar di dunia walaupun saiz dan populasi penduduknya kecil berbanding negara-negara lain. Statistik oleh sebuah badan antarabangsa juga mendapati rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada AS$500 juta (RM1.5 bilion) setiap tahun untuk alkohol dengan pengambilan per kapita sebanyak 7 liter. Penggunaan arak di Malaysia pula ialah sebanyak 11 liter per kapita. Angka ini dikira sebagai tinggi dan dikatakan hampir sama dengan negara-negara Eropah.


Saya juga percaya, sekiranya penjualan dan pengambilan arak ini berjaya dibendung secara sewajarnya, nescaya pelbagai masalah sosial dan jenayah dapat dibanteras. Data-data berikut dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan:


(i) Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.


(ii) Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6 peratus mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.


(iii) Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.


(iv) Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol adalah penyakit kardiovaskular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.


(v) 48 peratus daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alkohol.


(vi) Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3 peratus kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5 peratus kes penderaan kanak-kanak.

(vii) Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.


(viii) Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.


(ix) Menurut satu statistik di UK, alkohol telah menyebabkan 45 hingga 46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.


Dari segi statistik kemalangan pula, isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin serius apabila sejumlah 67 kes kemalangan dengan tiga kematian dicatatkan hanya dalam tempoh lima bulan dari Februari 2020 hingga Jun 2020. Angka itu didapati sudah melebihi kes keseluruhan pada tahun 2018, iaitu 60 kemalangan dan tiga kematian. Manakala pada tahun 2019 pula merekodkan 56 kes kemalangan dengan empat kematian. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari'at berkata, statistik berkenaan membuktikan isu berkenaan semakin serius.


Secara kesimpulannya, sindrom kebergantungan kepada alkohol merupakan gangguan psikiatri, yang mana seseorang itu adalah ketagihan kepada alkohol. Walaupun sindrom ketagihan rokok juga mempunyai kesan dan mudarat yang lebih kurang sama, namun jika diambil kira daripada kes jenayah yang berpunca daripada arak dan alkohol, adalah sesuatu yang tidak munasabah untuk kita samakan kedua-duanya. Minum hanya untuk memenuhi tuntutan sosiobudaya adalah wajar tetapi jika bertujuan untuk memabukkan diri, itu perlu dielakkan. Kebenaran untuk menjual arak dan alkohol di premis-premis yang diklasifikasikan perlu serta mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan sudah cukup untuk memenuhi keperluan sosiobudaya kaum yang mengamalkan pengambilan arak. Isu ini diperbesarkan dengan tujuan jelas untuk mengaut laba politik sahaja serta menimbulkan kekeliruan dan pastinya #KerajaanGagal cuba diterapkan di dalam perspektif dan minda masyarakat umum.



Mohammed Nizam bin Hassan

bottom of page