top of page
  • newsatmy

Kenapa takut ambil vaksin? - Elfira Loy

18 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Memikirkan anak yang masih kecil apatah lagi karier sebagai selebriti yang bertemu ramai orang, Elfira Loy mengenepikan perasaan takut demi keselamatan diri dan keluarga bagi mendapatkan suntikan vaksin.


Biarpun dimomokkan dengan pelbagai kisah mengenai apa yang didakwa kesan dan keburukan vaksin, ia tidak menyekat keputusan ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf yang berusia dua tahun, untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lalu.


Berkongsi pengalaman, Elfira yang ditemui pada majlis perasmian kempen anti buli siber anjuran Himaya Premium Hijab Mask di ibu negara, baru-baru ini, memuji perkhidmatan yang disifatkan cepat dan efisien.


Elfira berkata, proses yang terlalu cepat menyebabkan dia hampir terlupa ketakutannya kepada jarum suntikan.


"Jika tidak kerana pembantu peribadi yang hantar, mungkin saya sudah berpatah balik kerana cepat gemuruh apabila hendak berjumpa doktor, lebih-lebih lagi bila perlu disuntik.


"Walhal suntikan tidaklah sesakit mana berbanding ujian calitan.


"Tapi, Alhamdulillah, semua berlaku dengan sangat pantas. Setakat ini, saya belum merasa kesan selepas suntikan, mungkin masih terlalu baharu kerana melalui pembacaan, kesannya dirasai selepas lima hingga sembilan jam.


"Walaupun takut untuk disuntik, saya sangat teruja. Bagi saya, ia sangat penting lebih-lebih apabila ada anak kecil.

"Tambah membimbangkan apabila melihat angka jangkitan yang semakin meningkat saban hari dan pesakit yang tidak menunjukkan gejala.


"Jadi, sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku, lebih baik saya ambil langkah berjaga-jaga," katanya.


Selain Elfira, suaminya Muhamad Faris Khairol Anuar, ibu dan adik kepada pelakon Ekspress Dania ini juga sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.


Tambah Elfira, dia lebih gemar memberi fokus kepada faedah positif pengambilan vaksin daripada membaca apa yang dikatakan kesan buruk suntikan berkenaan.


Lagipun, daripada ribuan rakyat yang sudah mendapatkan suntikan itu, hanya beberapa peratus sahaja yang mengalami kesan negatif.


"Apabila terlalu takut, kita banyak mencari efek yang buruk sedangkan, kesan baik lebih banyak daripada buruk.


"Saya juga sudah mempersiapkan diri sekiranya terkena simptom seperti demam selepas vaksin.


"Bagi saya, perkara itu adalah biasa. Sama sahaja jika kita mengambil apa-apa vaksin seperti vaksin untuk ke luar negara.


"Sekiranya mengalami demam, sengal dan sebagainya, itu adalah tanda sistem imun kita sedang memberi tindak balas.


"Cuma sebelum jalani vaksin, dapatkan nasihat daripada doktor peribadi terlebih dulu," katanya.


Elfira mengaku memuat naik foto selepas disuntik vaksin di Instagram (IG) agar dapat membuka hati orang ramai yang belum mendaftar serta menambahkan keyakinan mereka terhadap vaksin.


Elfira juga menasihati individu yang belum mendaftar supaya tidak memberi tumpuan kepada perkara negatif vaksin.


Sebaliknya, tambah Elfira, kesan baik dan buruk adalah perkara biasa sama seperti seperti rawatan penyakit di mana ada yang sembuh dan sebaliknya.


"Ini adalah ikhtiar kita untuk kebaikan keluarga dan orang di sekeliling kita.


"Mungkin kita perlu tengok pengalaman positif orang yang sudah mengambil vaksin, ramai yang masih sihat walafiat.


"Jadi kenapa perlu takut, lagipun lambat laun kita perlu mengambilnya," katanya yang bakal melalui proses suntikan kedua dalam tempoh 12 minggu lagi.


-Berita Harian

bottom of page