top of page
  • admin

Kenyataan ikhlas Pengerusi MPN demi pulihkan ekonomi negara


Apa yang dikatakan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) adalah jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat apa yang sedang dihadapi oleh negara pada waktu ini.


Selaku Pengerusi MPN pastinya TSMY mempunyai alasan untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri (DSIS) gagal menguruskan ekonomi negara yang lebih baik.


Selaku Pengerusi MPN dan Presiden BERSATU itu pastinya tahu bahawa kenyataannya itu juga akan memberi kesan kepada menteri-menteri daripada BERSATU dalam kabinet kerana mereka terlibat dalam menguruskan ekonomi negara.


Pelbagai pihak perlu melihat daripada sudut positif kenyataan TSMY itu apabila beliau dilihat kecewa kerana pandangan dan nasihat selaku Pengerusi MPN tidak diberi perhatian oleh kerajaan.


Sebagai pengetahuan umum, TSMY dalam kenyataan terbarunya memberitahu bahawa Ismail Sabri dilihat gagal mengekang isu inflasi, kekurangan tenaga kerja dan nilai ringgit yang semankin merosot.


Beliau juga menambah bahawa MPN telahpun memberi pandangan dan nasihat kepada kerajaan agar melihat keperluan menyelesaikan isu kurangnya tenaga kerja dalam negara. Namun tidak diambil tindakan komprehensif.


Selain itu, menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu lagi, Ismail Sabri tidak memberi gambaran usaha sebenar tentang langkah-langkah kerajaan yang diambil bagi menangani isu kejatuhan nilai ringgit.


Sebagai anggota jemaah menteri TSMY pastinya ingin melihat kerajaan mempunyai pelan bagi memulihkan ekonomi negara yang dilihat semankin gagal diuruskan. Kenyataan TSMY wajar walaupun beliau tahu risiko yang akan dihadapi ketika membuat kenyataan itu.


Sepatutnya DSIS melihat kenyataan Pengerusi MPN itu sebagai satu nasihat dan teguran memandang isu berkenaan telahpun dibawa dalam mesyuarat kabinet. Keputusan MPN pula dipersetujui bersama menteri kabinet kerana dianggotai oleh menteri daripada UMNO dan PN.


Perdana Menteri itu disaran tidak terpengaruh dengan nasihat atau pandangan daripada Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Shahril Sufian Hamdan kerana dia sering bertindak mengikut sentimen politik. Ketua Penerangan UMNO itu dilihat tidak serious untuk membantu Perdana Menteri kerana Shahril Hamdan lebih menyebelahi Presiden UMNO Zahid Hamidi.


Sejak awal Shahril Hamdan sering menyerang dan membidas TSMY terutama ketika Pengerusi PN itu menjadi Perdana Menteri ke-8. Pastinya usaha MPN menasihati dan memberi cadangan kepada kerajaan tidak diendahkan kerana ada kaitannya dengan Pengarah Ekonom itu sendiri.


Adalah tidak sukar difahami bahawa serangan Shahril Hamdan terhadap Pengerusi MPN adalah untuk mengalih perhatian rakyat tentang kegagalannya membantu Perdana Menteri dalam isu berkaitan.


Namun begitu, walaupun kecewa dengan kegagalan kerajaan itu, Pengerusi PN itu tidaklah sampai ingin menarik sokongan terhadap Ismail Sabri dan tambahnya lagi, jika Perdana Menteri terus gagal menguruskan ekonomi dan negara adalah lebih baik diadakan pilihan raya supaya sebuah kerajaan yang stabil, bebas rasuah dan prihatin dapat dipilih oleh rakyat.


Penulis adalah Kamarozaman Ahmad, Ketua Penerangan BERSATU Balik Pulau.

bottom of page