top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kenyataan Zahid Ibarat Tepuk Air Di Dulang Terpercik Ke Muka Sendiri – Mas Ermieyati

10 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin menemplak kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kerajaan Perikatan Nasional gagal dalam memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) pada 11 Mac 2020 sebagai syarat sokongan UMNO.


Mas Ermieyati berkata kenyataan Zahid Hamidi itu ibarat menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.


“Jika benar apa yang didakwa iaitu kerajaan gagal, adakah Zahid sedar UMNO mempunyai wakil menteri didalam kerajaan paling ramai iaitu sembilan orang, adakah beliau mengakui menteri-menteri yang mewakili UMNO ini gagal?” katanya ketika dihubungi hari ini.


Namun, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mengakui beliau turut malu dengan rakyat atas tindakan Zahid.


“Saya akui, sebagai ahli politik saya malu dengan rakyat kerana Zahid yang juga seorang ahli politik terlalu taksub mengejar kuasa kepimpinan sehingga dia mengabaikan kebajikan rakyat,” katanya.


Tambahnya, Zahid sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk di Perak perlu sedar rakyat sedang sengsara dan menangis setiap hari menuntut nasib mereka dibela.


“Sedangkan saya hari ini baru sahaja selesai mendengar rintihan penduduk di sini yang menangis kerana hilang sumber pendapatan, dan situasi seperti ini saya hadapi setiap kali saya bersama rakyat di sini.


“Apa yang kita sebagai ahli politik yang mewakili rakyat ini sedang lakukan untuk membantu mereka?” soalnya.


Malam Rabu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.


Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.




--PN Online

bottom of page