• Matha Ahmad

Kenyatan Ahmad Maslan menyalahkan rakyat tindakan biadap

Updated: Oct 22


Kenyataan Ahmad Maslan menyalahkan rakyat apabila dilihat politik Malaysia sejak lebih tiga tahun kebelakangan ini sebenarnya berpunca daripada kedangkalan kefahaman politik rakyat amat mendukacitakan.


Kenyataan Ahmad Maslan baru-baru ini dipetik berkata:


“Saya kira rakyat kesal terhadap kesilapan mereka memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14. Kerana kesilapan memilih dan hendak mencuba sesuatu yang baru maka negeri dan negara tidak stabil politiknya hingga ke hari ini.


“Harapan saya ialah supaya rakyat tidak salah pilih lagi. Itu penting. Kita menukar kerajaan ni bukan macam kita menukar sebuah rumah. Menukar kerajaan ini bukan macam menukar baju yang kita hari-hari boleh buat.


“Menukar kerajaan ini dia ada implikasi-implikasi positif dan negatif. Jadi akibat daripada salah pilih; memilih pihak yang tidak betul memerintah negara maka inilah yang berlaku. Tidak stabil begitu lama. Dah tiga tahun setengah tidak stabil,” katanya.


Benarkah demikian? Bahawasanya rakyatlah yang silap kerana cuba membuat ujikaji politik pada PRU15 hingga memporak-perandakan sistem dan amalan politik negara pada Mei 2018 lalu?


Sehubungan itu, Ahmad berkata Umno perlu memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri Melaka untuk menukar mandat percaturan wakil rakyat kepada mandat rakyat.

Lantas, katanya, akar umbi di setiap peringkat Umno perlu bersiap siaga demi memastikan Barisan Nasional dijadikan pilihan rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik di Melaka khususnya dan negara amnya.


Persoalannya, adakah benar dan adilkah rumusan yang dibuat Ahli Parlimen Pontian ini?

Jawabannya pastinya terletak di tangan rakyat, khususnya pengundi Melaka yang akan sekali lagi akan keluar memilih 28 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka pada 20 November depan.


Hakikatnya PRU14 diuruskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan tertib dan mengikut piawaian profesional dan telah mengisytiharkan kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno gagal memerintah kerajaan pusat.


Kenyataan Ahmad Maslan mengambarkan UMNO tidak pernah mengaku kesilapannya. Hakikatnya parti UMNO membiarkan rasuah berleluasa jadi amalan parti, biarkan budaya menjilat tidak tentu hala,mementingkan kuasa,pemimpinnya mencari kekayaan melalui kuasa politik yang menjadikan rakyat marah dan menjurus kekalahan BN pada PRU 14.


Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan Parti Amanah Negara (PAN) menjadi pilihan rakyat yang sekaligus menolak kerajaan BN dalam pilihan raya yang adil dan telus.


Namun Umno dan sekutu-sekutu BN bersama bekas saingan tegarnya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak boleh menerima realiti politik yang baru ini dan menggunakan pendekatan kurang bermoral melalui strategi politik lompat parti merampas kuasa PH.


Melalui sentimen perkauman dan keagamaan ini persekutuan parti-parti politik yang menggunakan nama Perikatan Nasional (PN) menjatuhkan kerajaan PH.


UMNO,dari blok pembangkang telah menjadi kerajaan bersama BERSATU dan PAS serta rakan sekutu yang lain membentuk kerajaan Perikatan Nasional,namun mereka masih bersifat tamak dan gila kuasa.


Walaupun beberapa negeri seperti Johor dan Perak yang sebelum ini menteri besarnya dari BERSATU berjaya mereka perolehi.Selain Johor dan Perak ,UMNO juga dapat merampas jawatan ketua menteri dari PH namun mereka tetap tidak berpuas hati.Akhirnya kerajaan PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyuddin Yassin tumbang angkara tindakan 15 ahli parlimen UMNO yang menarik sokongan.Hari ini jawatan Perdana Menteri Malaysia ,Datuk Seri Ismail Sabri juga dari parti UMNO.


Kini apabila kerajaan PN Melaka pula jatuh hasil permainan politik dalaman Umno, Ahmad meletakkan kesalahan dan ketidakstabilan politik Melaka dan negara di atas bahu rakyat yang dikatakannya silap bagaimana menggunakan hak demokrasi mereka.


PRN Melaka berlaku kerana amalan politik curang Umno yang dipacu sikap haloba kuasa. Bukti kenyataan ini kini ada di tangan pengundi di Melaka.


Setiausaha Agung Umno itu cuba mengabui mata rakyat dengan kenyataan tidak matang kononnya lantaran kedangkalan politik mereka sendirilah politik negeri Melaka kucar-kacir.


PRN Melaka bulan depan akan membuka laluan untuk rakyat negeri itu menghantar mesej jelas kepada Ahmad dan Umno sendiri bahawa kemelut politik bukan buatan mereka, sebaliknya natijah kegelojohan dan keterlaluan nafsu pemimpin politik.




Matharuzaman Ahmad

Timbalan Ketua BERSATU Pontian