• newsatmy

Kepada selebriti, cukup-cukuplah sakitkan hati masyarakat - Nabila Huda

24 Mei 2021

BERGELAR artis atau selebriti bukan mudah, lantaran setiap tindak tanduk akan diperhati dan dinilai para pengikut.


Tatkala wabak COVID-19 masih memuncak di Malaysia, mereka yang bergelar selebriti atau pempengaruh ‘influencer’ perlu memainkan peranan dengan memberi contoh yang baik.


Perkara itu diakui pelakon Nabila Huda yang mengakui kecewa dengan sikap segelintir pempengaruh yang tidak menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.


“Cukuplah menunjuk-nunjuk perkara-perkara yang menyakiti hati orang lain, perkara-perkara yang terlalu riak, kawal media sosial anda.


“Tidak perlu nak berkongsi perkara-perkara yang merepek-repek, semua perkara yang anda buat semuanya nak kongsi di media sosial yang menyebabkan orang ramai lebih membenci.

“Ini bukan masanya.


"Henti buat segala perkara yang membuatkan orang ramai membenci kita, menilai kita, padahal kita semua melalui perkara yang sama (COVID-19),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.


Nabila yang baru sahaja selesai menjalani kuarantin kendiri disebabkan positif jangkitan COVID-19 berkata demikian dalam temu bual Stars@AWANI yang disiarkan di Facebook dan YouTube Astro AWANI, jam 11 pagi ini.


Anak kepada legenda rock tanah air, Amy Search itu berpandangan, selebriti atau pempengaruh -- tidak kira jumlah pengikut di media sosial -- perlu menggunakan segala medium yang ada untuk memberi kesedaran dan perkara positif kepada masyarakat.


“Kepada para selebriti atau ‘influencer’, mula gunakan instagram anda, tidak kira pengikut anda ramai atau tidak, kongsikan kesedaran berkaitan COVID-19 ini serta apa yang wajar dilakukan.


“Tiba masanya untuk kita gunakan platform media sosial ke arah yang lebih baik dan untuk orang menyayangi kita, dan orang akan hormat kita disebabkan kejujuran dan keperibadian kita.


“Saya harap ini akan membantu semua, kerana apa yang saya katakan ini adalah dari hati saya, pandangan saya,” ujarnya.


Nabila pada masa sama memohon maaf kepada rakan-rakan selebriti lain terasa hati dengan teguran tersebut.


-Astro Awani