top of page
  • newsatmy

Kepemimpinan PN, Muhyiddin diterima rakyat

26 April 2021

KUALA LUMPUR: Kajian Merdeka Center mengenai prestasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) mencerminkan kepemimpinan berkesan dan diterima oleh masyarakat.


Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Harris Idaham Rashid, berkata tanda pagar #kerajaangagal yang tular terbukti tidak mencerminkan pendapat sebenar rakyat.

Katanya, kempen itu hanyalah taktik kosong yang digembar-gemburkan oleh sebilangan kecil 'influencer' media sosial.


"ARMADA akan terus tetap menjadi pendorong utama kerajaan untuk meneruskan pentadbiran yang cemerlang, demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Kenyataan itu reaksi kepada Laporan kajian yang menyatakan 67 peratus berpuas hati dengan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.


Tinjauan Merdeka Center dijalankan antara 31 Mac dan 12 April 2021 untuk mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.


Sebanyak 2,111 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 64 peratus Melayu, 28 peratus Cina, dan lapan peratus India terbabit dalam kajian itu.


Kajian dalam talian dan ditemu ramah melalui talian tetap dan telefon bimbit.

Harris berkata, hasil kajian Merdeka Center menunjukkan 70 peratus responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan mengurus pandemik COVID-19.


Katanya, ini membuktikan langkah yang diambil oleh kerajaan PN untuk membendung pandemik dan memulihkan ekonomi diterima baik rakyat.


"ARMADA berpendapat strategi kerajaan menerusi enam pakej rangsangan ekonomi (PRIHATIN, PKS, PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA) tepat dan menepati sasaran kelompok yang memerlukan," katanya.


Harris menyatakan satu fakta yang paling mencuri tumpuan ialah 67 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.


"Apa yang lebih memberangsangkan 83 peratus masyarakat Melayu dan 66 peratus masyarakat India, manakala masyarakat Cina pula menunjukkan 30 peratus persetujuan.


"ARMADA berpuas hati dengan hasil dapatan ini kerana ia jelas menunjukkan bahawa penerimaan Perdana Menteri itu sangat kukuh dalam kalangan Melayu. (Penerimaan) Bukan Melayu secara purata berada dalam keadaan yang stabil," katanya.


Beliau berkata, ARMADA gembira dengan hasil kaji selidik itu, 79 peratus orang muda dalam lingkungan umur 21-30 (belia) berpuas hati Perdana Menteri .


"Fakta ini sekaligus menguatkan pendirian ARMADA bahawa kami menyokong penuh kemasukan pengundi 18 tahun ke atas di dalam daftar pemilih kerana kami yakin kumpulan ini akan memberikan sokongan terhadap PN dalam pilihan raya akan datang," katanya.


-Berita Harian

bottom of page