top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kerajaan akan bangunkan Pos Gob di Gua Musang sebagai tempat pelancongan

19 September 2021

GUA MUSANG: Kerajaan akan membangunkan kawasan penempatan masyarakat Orang Asli di Pos Gob, di sini, sebagai tempat pelancongan mulai tahun depan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pendekatan secara holistik itu dilihat akan memberi faedah kepada masyarakat setempat selain ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memajukan masyarakat Orang Asli.


Katanya, kerajaan memandang berat masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli khususnya dalam menangani dan membasmi masalah kemiskinan dengan kadar kemiskinan dalam kalangan golongan itu adalah yang tertinggi di negara kita.


“Insya-Allah selepas pandemik COVID-19 ini berakhir (beransur pulih) kita mahu Pos Gob ini dimajukan sebagai tempat pelancongan.


“Selain itu, di kawasan ini juga telah wujud beberapa chalet yang perlu dibaik pulih untuk dibangunakan sebagai tarikan pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Program Vaksinasi COVID-19 Orang Asli di Gua Musang, di Pos Gob di sini hari ini.


Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Noor, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusoff.


Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jeli itu berkata kawasan penempatan Orang Asli itu dilihat mempunyai potensi untuk dimajukan susulan pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan kaji selidik dari sudut ekonomi membabitkan kawasan berkenaan sekitar 2017.


“Dalam kajian itu, mereka melihat potensi kawasan ini untuk dimajukan dengan persekitarannya mempunyai hutan, gua dan sungai sekali gus ia sesuai untuk dijadikan kawasan ekopelancongan.


“Malah, di Pos Gob ini telah diwujudkan satu model yang merangkumi pendidikan, kesihatan dan program ekonomi untuk membangunkan masyarakat Orang Asli melibatkan kerjasama UKM, JAKOA dan juga CIMB Bank. Malah, ia dilihat memberi impak yang positif,” katanya.


Ujar beliau lagi, model perkongsian pintar antara tiga pihak iaitu JAKOA, swasta dan pihak universiti itu akan digunakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memastikan bahawa sumber-sumber Orang Asli dapat dipelbagaikan.


“Kerajaan tidak menolak untuk menggunakan model ini bagi membangunkan beberapa perkampungan Orang Asli di kawasan Tapah, Perak bagi tujuan pelancongan selain kita juga sudah menyediakan peruntukan untuk memajukan kawasan tersebut,” katanya.


Sementara itu, Ab Aziz berkata beliau menyambut baik rancangan kerajaan dalam memajukan kawasan penempatan Orang Asli di Pos Gob itu memandangkan kawasan berkenaan mempunyai potensi sangat besar.


“Kawasan ini mempunyai alam semula jadi yang belum terusik, khususnya air terjun yang boleh dikatakan antara yang tercantik selain ia juga bersesuaian untuk peminat pacuan empat roda (4X4),” katanya.

bottom of page