• newsatmy

Kerajaan akan bantu sektor pelancongan - MPN

Updated: Oct 27

27 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan membincangkan impak dihadapi sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, minggu depan.


Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihak berkaitan diminta membentangkan kertas kerja bagi memaklumkan kesan serta apa usaha daripada pihak kerajaan boleh lakukan untuk membantu sektor berkenaan.


"Sektor pelancongan paling tertekan, banyak hotel terpaksa ditutup disebabkan masalah pandemik ini. Ini antara sektor mungkin mengambil masa paling lama untuk pulih.


"Ada unjuran mengatakan empat tahun baru selesai masalah dihadapi sektor ini tetapi dalam tempoh itu, berapa banyak lagi hotel akan ditutup. Maka MPN sedang melihat apa bentuk (bantuan) yang perlu disegerakan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi wawancara disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.


Ditanya pandangannya berhubung pemulihan negara yang terjejas akibat pandemik, Muhyiddin berkata, beliau yakin Malaysia akan kembali pulih dalam tempoh yang tidak terlalu lama.