top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kerajaan beri kelonggaran sektor getah beroperasi sepanjang PKP, jamin kelestarian

12 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memberi kelonggaran bekerja dan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan fasa yang berkaitan kepada beberapa kumpulan dalam sektor getah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.


Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Willie Anak Mongin berkata langkah itu bagi menjamin kelestarian sektor industri getah.


Katanya kumpulan sektor getah yang dibenarkan melibatkan aktiviti penorehan, pembelian, pemprosesan dan sektor pengilangan yang berkaitan perubatan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).


Antara penambahbaikan sektor getah yang telah dilaksanakan dalam tempoh Mac 2020 sehingga Ogos 2021 termasuklah melaksanakan projek perintis Koridor Lateks Pantai Timur melibatkan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai usaha yang dilakukan untuk menambah baik sektor perladangan getah dalam tempoh tersebut.


Willie berkata bagi tujuan itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM16 juta secara padanan pada tahun 2021.


Selain itu, katanya meluaskan penggunaan RRIMniaga®, inovasi Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang merupakan satu aplikasi telefon pintar bagi tujuan merekodkan urus niaga getah dalam kalangan pelesen (peniaga getah).


“Selain daripada memudahkan rekod urus niaga getah, aplikasi ini juga membolehkan pekebun kecil mendapat manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tanpa perlu melalui proses tuntutan manual kerana sistem RRIMniaga akan merekod transaksi pembelian dan menjana resit pembelian secara elektronik,” katanya.


Bagi memelihara kebajikan pekebun kecil getah, katanya kementerian turut mempergiatkan hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil agar memohon IPG.


“Sejak IPG dilaksanakan pada September 2015 sehingga Julai 2021, sebanyak RM436.11 juta telah disalurkan kepada 199,677 pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.


Katanya kementerian turut menggalakkan amalan integrasi tanaman dalam kalangan pekebun kecil sebagai pendapatan sampingan.


Dalam pada itu, Willie berkata kejayaan industri sarung tangan secara tidak langsung turut membantu pekebun kecil getah.


“Dianggarkan sumbangan daripada pekebun kecil kepada industri ini adalah sebanyak 6.5 peratus berdasarkan keperluan getah lateks kepada industri,” katanya.


Menjawab pertanyaan berkaitan daripada Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) mengenai isu kekurangan buruh asing dalam sektor perladangan getah, katanya isu itu tidak berbangkit kerana kebergantungan pekerja asing dalam sektor perladangan getah amat rendah iaitu hanya melibatkan empat peratus sahaja.


Dalam mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, katanya beberapa inisiatif dijalankan antaranya program pembangunan modal insan melalui kursus berkaitan, penggunaan mesin bermotor, Skim Insentif Mekanisasi Sawit (OPIMIS) apabila pengusaha ladang akan menerima bantuan geran diskaun hingga 20 peratus bagi setiap jentera dibeli bagi kegunaan di ladang sawit.


Katanya kementerian turut menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) melibatkan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pihak industri bertujuan meningkatkan teknologi dan penggunaan kejenteraan ladang bagi mengoptimumkan kecekapan operasi serta penuaian buah sawit di samping mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan.


“Sebanyak RM30 juta daripada kutipan ses akan digunakan sebagai pelengkap oleh industri kepada peruntukan RM30 juta yang disediakan kerajaan melalui geran padanan seperti diumumkan semasa Belanjawan 2021,” katanya.

bottom of page