top of page
  • admin

‘Kerajaan jangan sekadar lepas batuk di tangga’


Program Menu Rahmah yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 31 Januari lalu dilihat masih tidak dapat menyelesaikan masalah untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian dalam kehidupan masyarakat di negara ini.


Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, berkata demikian ketika mengulas tentang agenda yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah naungan kerajaan perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menyasarkan keperluan makanan harian bagi golongan berpendapatan rendah serta untuk membantu meringankan beban harian.

“Melalui inisiatif menu Rahmah yang diperkenalkan itu,ia memungkinkan program itu tidak mampu bertahan lama dengan kos penyediaan RM5 seperti sekarang yang mana, setiap pelanggan boleh membeli satu set hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah yang terdiri daripada nasi, ayam atau ikan dan sayur-sayuran dengan air kosong.

“Justeru, pada masa yang sama juga dilihat kerajaan PH-BN masih tidak dapat menyelesaikan harga barangan basah yang semakin tinggi di pasaran pada masa kini,” tegasnya


Menjelaskan lebih lanjut, beliau bekata bahawa apa sahaja tindakan dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat perlu berlandaskan kepada tindakan yang rasional.

“Pihak kerajaan perpaduan, jangan hanya melaksanakan program sekadar melepaskan batuk di tangga atau seolah-olah menggambarkan tindakan telah diambil tetapi tidak mencapai matlamat yang berkesan”.

“Program yang diperkenalkan ini bukan hanya sekadar hendak menghilangkan lapar rakyat semata-mata tetapi perlu mencapai kualiti yang sepatutnya diterima oleh rakyat.

“Takkan rakyat bawahan hanya layak makan sekadar untuk hilangkan lapar dan dahaga sahaja. Rakyat juga berhak mendapat makanan yang membuat perut mereka berasa selesa’ dan menggembirakan mereka,” jelasnya.


Justeru, beliau menegaskan agar pihak kementerian perlu bersungguh-sungguh memainkan peranan dalam menurunkan harga barang, meluaskan harga siling barangan dan menambahkan subsidi untuk menu rahmah tersebut.


Katanya lagi, beliau bimbang dasar yang tidak kompeten akan wujud jika hanya sekadar diperkenalkan untuk meraih publisiti semata mata.

“Jika tiada tindakan drastik yang dilakukan oleh pihak kementerian, berkemungkinan program menu Rahmah ini akan berakhir begitu sahaja dan tidak bertahan lama,” katanya

bottom of page