top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kerajaan Melaka tumbang - PN Melaka kecewa dan kesal dengan tindakan 4 ADUN

5 Oktober 2021

Satu sidang media telah diadakan oleh Perikatan Nasional Melaka yang diketuai oleh Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen pada petang tadi.


Sidang media berkenaan turut disertai oleh Pesuruhjaya PAS Melaka dan Naib Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, YB Datuk Ustaz Kamaruddin Sidek dan juga Pengerusi Gerakan dan Naib Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, YB Datuk Michael Gan, selaku rakan komponen parti Perikatan Nasional.


Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) Melaka sedia maklum tentang sidang media yang diadakan oleh 4 ADUN Melaka semalam.


PN Melaka telah ambil maklum tentang permohonan pembubaran DUN Melaka oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang telah diperkenankan oleh TYT.


"PN Melaka berasa kesal dan kecewa dengan krisis politik dan pembubaran DUN Melaka ekoran daripada kemelut dan percaturan politik yang berlaku di negeri ini,


"PN Melaka berpendirian segala fokus ketika ini harus diberikan kepada usaha-usaha untuk memulihkan negara dan negeri Melaka daripada pandemik Covid-19,


"Kita sedia maklum proses pemulihan negara dan negeri Melaka yang berjalan dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan PN ini sudah menampakkan hasil," ujar beliau.


PN Melaka bersependapat dengan majoriti rakyat negeri Melaka bahawa ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.


"Namun, bagi menghormati proses demokrasi, Perlembagaan Negeri Melaka dan keputusan yang telah dibuat oleh TYT, Tun Sri Setia Dr. Haji Mohd Ali, yang di-Pertua Negeri Melaka telah membuat keputusan menyertai PRN Melaka dan tarikhnya akan ditentukan oleh SPR dalam masa terdekat ini," tambah beliau.


PN Melaka berharap agar rakyat Melaka memberi peluang dan sokongan kepada parti Perikatan Nasional yang dipimpin oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yasin di peringkat Pusat bagi meneruskan lagi usaha-usaha dan langkah pemulihan negeri Melaka daripada pandemik Covid-19.

bottom of page