top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kerajaan pertimbang buka sempadan negara secara selamat

17 Oktober 2021

Kerajaan sedang mempertimbang untuk membuka semula sempadan negara secara selamat, dengan membenarkan pelawat asing lengkap vaksinasi dari negara tertentu, memasuki Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.


Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia melalui program Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain.


Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan pada mesyuarat MPN yang dimulakan dengan taklimat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hari ini.


"Ini satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara, yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi, terutama dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa dan peruncitan, selain mempermudahkan urusan pelawat perniagaan serta pelawat sosial untuk datang ke negara kita.



"Saya berharap proses pembukaan sempadan itu yang merupakan satu aspek penting dalam usaha pemulihan negara, dapat dilaksanakan dengan segera dan selamat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.


Yang turut hadir ialah ahli MPN, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Tony Fernandes, Datuk Michael Kang serta Datuk Dr Hartini Zainudin.


Ditanya masa sesuai untuk pembukaan semula sempadan negara, Muhyiddin menjelaskan, MPN tidak membuat keputusan mengenai perkara itu.


"Saya dimaklumkan bahawa jawatankuasa khas yang dipengerusikan Perdana Menteri akan membincangkan perkara itu, hari ini," katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, pembukaan semula sempadan negara adalah penting bagi memulihkan ekonomi Malaysia.


"Sudah sampai masanya sempadan negara dibuka semula untuk pelawat yang sudah divaksin. Ini adalah langkah tepat selepas rentas daerah dan sempadan negeri dibenarkan.


"Warga Malaysia juga sudah dibenarkan ke luar negara. Justeru, kita perlu segera buka untuk pelawat asing sama ada pelawat perniagaan atau sosial, masuk ke negara ini," katanya.


Mengulas taklimat daripada Khairy pula, Muhyiddin berkata, MPN berpuas hati dengan perkembangan dicapai, khususnya dari segi penurunan angka harian kes positif, penurunan ketara penggunaan katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit COVID-19, dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang sudah mencapai 95 peratus ketika ini.


Sementara itu ditanya mengenai prosedur operasi standard untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pula, beliau memaklumkan, MPN tidak terbabit isu berkenaan dan hanya membincangkan perihal pemulihan negara.


Justeru, katanya, perkara berkenaan perlu ditanya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

bottom of page