• newsatmy

Kerajaan PN berada di landasan betul urus ekonomi negara

28 April 2021

KUALA LUMPUR: Pelbagai langkah dan strategi kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan ekonomi negara berjaya meletakkan Malaysia di landasan yang betul bagi mengembalikan kekayaan kepada rakyat.


Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata peningkatan prestasi ekonomi negara bukan sahaja di atas kertas, tetapi lebih penting, dinikmati segenap lapisan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah dan di luar bandar.


Katanya, dengan dasar kewangan yang cekap dan telus, strategi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hanya bersifat 'sementara'.


"Ia bukan taktik memberi 'gula-gula' yang sering diamalkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka, tetapi sebaliknya merangkumi pelan pembangunan jangka panjang yang lebih efektif dan lestari.


"Ia di samping program jangka pendek yang dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan ketika menghadapi cabaran wabak COVID-19 kini," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Kenyataan itu reaksi kepada pengagihan dividen RISDA dan FELCRA dengan nilai keseluruhan RM189.08 juta seperti diumumkan semalam.


Perdana Menteri semalam mengumumkan dividen RISDA berjumlah RM82.03 juta diagihkan kepada 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB).


Turut menerima manfaat sama, seramai 15,165 pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersial (TSK) dengan keluasan 39,430 hektar di seluruh negara.


Sementara itu, 58,826 peserta FELCRA di seluruh negara akan menerima bayaran agihan akhir lebihan keuntungan projek tahun 2020 secara berperingkat.


Wan Saiful berkata, jumlah agihan akhir FELCRA sebanyak RM107.05 juta itu adalah lebih tinggi berbanding RM83.82 juta pada 2019.


"Tahniah saya ucapkan kepada barisan Kabinet PN walaupun setiap hari ada `kluster merungut' yang cuba mencipta persepsi palsu kerajaan ini gagal supaya mereka nampak seperti hero yang bersih.


"Hakikatnya kerajaan PN terus menempa kejayaan demi kejayaan yang dikongsi dengan rakyat. Ini membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan cekap dan prihatin," katanya.


Beliau dalam nada sinis berkata, walaupun `kluster merungut' cuba mencipta presepsi negatif, agihan dividen tinggi RISDA dan FELCRA mencerminkan kecekapan kerajaan PN dalam memperkasakan ekonomi rakyat.


-Berita Harian