top of page
Writer's pictureArissa Azman

Kerajaan sedia pinda Akta FINAS 1981-Annuar Musa

3 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) 1981 dianggap lapuk dan perlu dipinda melalui input penggerak industri kreatif bagi memastikan peruntukan dan peraturan diperkenalkan relevan.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerajaan sedia meminda Akta FINAS 1981 kepada suatu bentuk definisi undang-undang yang lebih sesuai pada masa sekarang.


Bagaimanapun, Annuar berkata, kerajaan perlu mendapatkan idea dan pandangan penggiat industri kreatif sebelum pindaan dibuat.

"Akta FINAS 1981 perlu diubah suai untuk disesuaikan dengan masa kerana digubal sudah terlalu lama dahulu. Ini hanyalah akta dan kita boleh bawa ke Parlimen untuk diperbaiki.


"Tetapi sebelum pindaan dibuat, kita kena dengar apa yang industri mahukan. Kita kena terbuka untuk menerima pandangan mereka.

"Zaman kerajaan hendak perintah segala-galanya sudah berakhir. Kita kena dapatkan pandangan mereka yang memang terbabit dalam industri serta dengar apa aspirasi mereka.


"Mana-mana idea atau pandangan mereka yang sesuai dan boleh diguna pakai, kita ambil," katanya pada sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 di Hotel Royale Chulan The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim serta Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.


Annuar berkata, setakat ini, kementerian sudah mendapat pelbagai input dan cadangan penambaikan Akta FINAS 1981 termasuk isu meletakkan hal ehwal industri muzik Malaysia di bawah FINAS.

"Saya sebagai orang yang mendengar, banyaklah input yang diberi. Misalnya, ada pihak daripada industri muzik tidak mahu mereka diletakkan di bawah FINAS serta hendak mengawal selia secara berasingan.

"Ada juga berpendapat, jika mahu masalah yang membelenggu penggiat industri muzik diselesaikan segera, kenapa tidak digabungkan kerana dua bidang ini saling berkait rapat.

"Tetapi tidak mengapa, kita dengar dulu apa pandangan mereka dan kita selaraskan. Dari situ, barulah kita buat keputusan," katanya.


Dalam perkembangan lain, Annuar teruja dengan petunjuk prestasi utama (KPI) dicapai kementeriannya selepas 100 hari pentadbiran.

Antara KPI yang dicapai adalah apabila hampir 4,000 syarikat perfileman kembali memulakan aktiviti penggambaran selepas terhenti beberapa bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebelum ini, ketika ditanya jangkaan saya berapa banyak syarikat yang kembali aktif memulakan operasi selepas kerja penggambaran dibenarkan, sasaran yang saya beri antara 1,000 hingga 2,000 syarikat.

"Namun, berdasarkan bilangan permohonan lesen termasuk pembaharuan lesen untuk aktiviti penggambaran dan rakaman, angka mencapai 4,000 syarikat.

"Ini adalah lonjakan yang sangat besar dan memberi petanda bahawa industri sudah bersedia untuk bangun semula," katanya.


Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegur sikap segelintir pemain industri baik di depan atau belakang tabir yang tidak peduli penganjuran FFM 31.



Comments


bottom of page