top of page
  • admin

Kerajaan tak mansuh SOSMA - Saifuddin Nasution


KUALA LUMPUR 22 Feb: Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan atau mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata undang-undang keselamatan yang berada di bawah tanggungjawab kementerian termasuk SOSMA masih relevan.


Selain itu, beliau menegaskan ia penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara. "Walaupun begitu, kementerian komited menambah baik undang-undang itu bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara, namun ia harus diimbangi dengan hak masyarakat serta kepentingan dan ketenteraman negara.

"Dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap undang-undang itu, pihak kementerian mengadakan perbincangan dan bengkel dalaman untuk melihat cadangan penambahbaikan.


"Pihak berkepentingan termasuklah pertubuhan bukan kerajaan, pakar akademik, komuniti dan sebagainya akan dilibatkan dalam sesi pengumpulan maklum balas terhadap cadangan penambahbaikan berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan P Prabakaran (PH-Batu).


Prabakaran meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan berhasrat untuk memansuhkan atau mengkaji semula akta SOSMA iaitu penahanan terhadap individu tanpa bicara dan tanpa ikat jamin kerana ia telah melanggar hak asasi manusia.


Saifuddin Nasution menambah SOSMA adalah undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik dan ia diperincikan dalam Jadual Pertama SOSMA 2012.


Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat.


Dalam masa yang sama, Saifuddin Nasution berkata kementerian juga tidak menerima sebarang arahan untuk mengkaji semula hukuman bagi sesuatu kesalahan sama yang melalui prosiding mahkamah pada waktu sama tetapi hukuman yang dijatuhkan berjalan berasingan.

"Kajian secara menyeluruh hanya akan dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan perlu diterajui oleh kementerian/agensi yang diberikan mandat dan kuasa berkaitan perkara ini," katanya.


Pada 26 Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.


Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan pelanjutan kuat kuasa subseksyen terbabit penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan secukupnya.


bottom of page