top of page
  • Writer's pictureNihaba

#kerajaangagal


Tanda pagar "kerajaan gagal" yang sering digunakan kini sebenarnya mencetuskan satu polemik lain yang perlu terlebih dahulu dijawab oleh kerajaan yang memerintah, walaupun sekarang ini kita tidak menang tangan dalam mengawal penularan pandemik Covid-19. Propaganda pihak-pihak yang berkepentingan telah berjaya menyemai benih-benih krisis kepercayaan hinggakan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan akan dipertikaikan.


Mengulas lanjut mengenai tanda pagar ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata istilah 'gagal' sangat subjektif untuk dijawab apatah lagi jika melihat pada perkembangan negara-negara lain dalam melawan pandemik COVID-19. Beliau mengakui yang Malaysia tidak berada di dalam posisi terbaik kerana sejurus mengangkat sumpah, kerajaan terus berhadapan dengan ketidakstabilan negara dalam pelbagai aspek. Harus diakui kerajaan sememangnya di dalam keadaan lemah tetapi bukan lemah mutlak, sebaliknya lemah dalam erti kata terpaksa bekerja dengan sumber terbatas dan perlu uruskan spektrum masalah yang besar.


Itu cakap-cakap seorang menteri yang berada di dalam kabinet. Mari kita buat sedikit analisa terkait tanda pagar berkenaan berdasarkan luahan rakyat di dalam media sosial. Secara ringkasnya setelah membuat penelitian berkaitan tanda pagar kerajaan gagal ini, saya merumuskan 3 indikator yang selalu menjadi sentimen mereka iaitu:-


i. Kelemahan menguruskan ekonomi

ii. Kelemahan menguruskan pendidikan

iii. Kelemahan menguruskan kesihatan


Kelemahan menguruskan ekonomi


Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kemiskinan sentiasa menjadi slogan banyak pihak, namun, tidak ada kesungguhan dalam kalangan pihak terlibat untuk melaksana dan menguruskannya. Kenyataan ini rentetan daripada laporan peningkatan jumlah individu menganggur menerusi laporan Jabatan Perangkaan dan laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) baru-baru ini jelas menunjukkan kelemahan dalam sistem negara ini bagi menangani isu kemiskinan. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam kenyataannya memaklumkan, pengangguran di negara ini meningkat kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus sehingga Disember tahun lalu. UNICEF pula mendedahkan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk bandar berpendapatan rendah meningkat dua kali ganda di Lembah Klang dari September hingga Disember tahun lalu. Di sini, perlunya fokus kerajaan bagaimana untuk menguruskan pandemik Covid-19 dan kesannya serta bagaimana untuk menguruskan ekonomi negara ketika ini.


Secara ringkasnya, COVID-19 menjejaskan 'kesihatan' ekonomi negara melalui tiga saluran utama. Pertama, sektor perlancongan dan sektor-sektor berkaitan terjejas akibat sekatan kemasukkan pelancong asing dan kawalan pergerakkan yang menjejaskan aktiviti pelancongan domestik. Kedua, sektor-sektor ekonomi dalam negara terjejas akibat kesan rantaian bekalan global. Contohnya, pengeluaran sektor pembuatan automobil dan topeng muka terjejas kerana kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara-negara terjejas akibat COVID-19 seperti China. Sektor pengangkutan udara juga terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa menghadkan atau memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen luar negara. Ketiga, guna tenaga perniagaan terjejas akibat daripada pekerja-pekerja yang terkena jangkitan dan juga arahan sementara kawalan pergerakkan penduduk. Akibatnya, pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan berkurangan.


Walau apapun cabarannya, kerajaan tetap teguh dengan menggariskan beberapa inisiatif untuk memastikan ekonomi negara dipacu di landasan yang tepat dan beberapa indikator ekonomi yang menunjukkan ekonomi negara tidaklah seteruk yang digembar-gemburkan.


i. Ekonomi Malaysia pada tahun 2021 diunjurkan bertumbuh pada 6.5 hingga 7.5 peratus walaupun pada suku pertama tahun 2021 Kerajaan telah melaksanakan PKP. Pelaksanaan inisiatif dalam Bajet 2021 yang diluluskan dan pakej rangsangan akan mengimbangi pertumbuhan ekonomi.


ii. Walau hasil jualan runcit berkurang sebanyak 90% pada minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, permintaan dalam aktiviti kurier di Malaysia meningkat secara mendadak. Sebagai contoh, hasil EasyParcel menunjukkan kenaikan 40% apabila PKP dilaksanakan di Malaysia dan Singapura.


iii. Jangkaan pemulihan ekonomi global termasuk di Malaysia, kesinambungan insentif pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang sehingga 30 Jun depan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan kadar faedah pinjaman sewa beli yang lebih rendah akan membantu merangsang jualan serta pengenalan model baharu dengan spesifikasi tambahan terkini, gaya reka bentuk dan harga yang sangat kompetitif, juga akan membantu mengekalkan minat belian.


iv. Permintaan sarung tangan terus meningkat mengatasi bekalan di tengah-tengah perubahan struktur dalam kesedaran kebersihan. Sebanyak 97 peratus daripada pengeluaran semasa L&S dieksport ke China dan India, termasuk untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini dan Eropah.


v. Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan pertumbuhan terminal yang kukuh setelah berjaya mencapai jumlah rekod keseluruhan kendalian kontena sebanyak 9.8 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2020 (peningkatan lebih daripada 8.0 peratus pertumbuhan berbanding 9.1 juta TEU yang dicatatkan pada 2019) walaupun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global dan pandemik COVID-19.


vi. Ekonomi Malaysia dijangka kekal berada dalam jajaran pemulihan berdasarkan peningkatan Indeks Pelopor (IP) sebanyak 7.1 peratus kepada 109.1 mata pada November 2020 berbanding 101.9 mata pada tempoh sama 2019. Trend ini selari dengan pertumbuhan bulanan IP yang mencatatkan pertumbuhan 0.4 peratus pada November 2020 berbanding negatif 0.7 peratus pada bulan sebelumnya. Peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh Import Benar Semi Konduktor (0.5 peratus) yang dipacu oleh permintaan litar bersepadu elektronik yang menggalakkan. Selain itu, peningkatan yang signifikan melalui Indeks Perusahaan Bursa Malaysia pada bulan rujukan, disokong terutamanya oleh Indeks Penjagaan Kesihatan.


vii. Adalah dijangkakan sumbangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kepada negara akan terus meningkat pada tahun 2020. COVID19 yang melanda dunia telah menggalakkan penggunaan TMK dalam urusan seharian termasuk penggunaan wang atas talian (e-wallet) dan platform edagang dalam urusan jual beli. Selain itu, penggunaan peralatan TMK seperti telefon bimbit, komputer dan tablet di kalangan isi rumah juga dijangka akan meningkat berikutan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran secara atas talian (PdPR). Pada tahun 2019, TMK menyumbang sebanyak 19.1% kepada ekonomi negara dengan e-dagang menyumbang sebanyak 8.4%.


viii. Top Glove Corporation Bhd menawarkan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan sepanjang 2021 bagi membantu menangani pengangguran di negara ini. Ia membabitkan 4,000 jawatan untuk pekerja tempatan; 2,300 jawatan untuk lulusan baharu universiti dan vokasional teknologi; 2,000 pelatih Latihan industri dan pelatih serta 700 pekerja yang berpengalaman.


ix. Nilai eksport minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit bagi tempoh Januari hingga November 2020 bernilai RM 64,772 juta dan mencatatkan peningkatan sebanyak RM 2,980 juta atau 4.8%.


x. Nilai eksport di Pelabuhan Klang bagi tempoh Januari hingga November 2020 bernilai RM155,981 juta dan mencatatkan penurunan sebanyak RM 4,802 juta atau 3.0%. Manakala, nilai import juga mengalami penurunan bagi tempoh yang sama dari RM212,174 juta pada tahun 2019 kepada RM 192,335 juta. Nilai import mencatatkan penurunan sebanyak RM19,840 juta atau 9.4%.


xi. Nilai eksport dari negara Jerman bagi tempoh Januari hingga November 2020 bernilai RM22,414 juta dan mencatatkan penurunan sebanyak RM 1,715 juta atau 7.1%. Manakala, nilai import dari negara Jerman bagi tempoh yang sama bernilai RM21,208 juta dan mencatatkan penurunan sebanyak RM3,415 juta atau 13.9%. Produk utama yang dieksport ke negara Jerman bagi tempoh Januari hingga November 2020 ialah produk elektrik dan elektronik bernilai RM 13,918 juta.


Jika dilihat pada indikator-indikator di atas, saya tidak nampak dimana gagalnya kerajaan sekarang di dalam menguruskan ekonomi, malah usaha-usaha berterusan kerajaan menampakkan hasil yang positif dan signifikan.


Kelemahan menguruskan Pendidikan


Masihkah kita ingat pada Oktober lepas, pihak Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan bahawa semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang bakal menjalankan pendaftaran mahasiswa pada hari keesokannya untuk membatalkan pendaftaran fizikan akibat peningkatan mengejut kes COVID-19 di negara pada masa itu. Akibat pengumuman tersebut, Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad diserang kerana keputusan tersebut yang menyebabkan para pelajar IPTA tersadai dan tanda pagar SiswaJagaSiswa sangat popular ketika itu.


Malah, pihak kerajaan terpalit dengan beberapa kontroversi berkenaan pemberian khas peralatan elektronik terhadap para pelajar ketika peralatan teknologi menjadi suatu keperluan penting dalam sistem pendidikan yang terpaksa dijalankan secara atas talian susulan pandemik (PdPR). Satu masalah utama ialah dakwaan pengabaian janji pihak kerajaan untuk memberi sejumlah komputer riba kepada warga pelajar berkeperluan seperti yang tertakluk dalam Belanjawan Malaysia 2021. Masih ingatkah lagi, pada Jun 2021, syarikat telekomunikasi Yes 4G bersama-sama pihak kerajaan telah memberi bantuan berupakan pemberian telefon pintar percuma terhadap para pelajar berkeperluan sebagai memenuhi program Jaringan Prihatin pihak kerajaan. Sungguhpun begitu, telefon pintar yang diberikan pihak Yes didapati terlalu usang daripada segi spesifikasi yang diperlukan bagi proses PdPR atau sebarang kegunaan lazim setelah bantuan pemberian dijalankan oleh pihak kerajaan Perak. Wakil kerajaan Perak memberikan alasan bahawa telefon dengan spesifikasi sebegitu sengaja diberikan untuk 'mengelakkan penyalahgunaan seperti bermain permainan video' dan sepatutnya hanya digunakan bagi tujuan PdPR semata-mata.


Alasan demi alasan diberikan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri tetapi tiada satupun yang boleh mempengaruhi sentimen rakyat yang lebih setuju terhadap kegagalan kerajaan menguruskan negara ketika Covid-19 ini.


Sebenarnya, masalah utama yang diutarakan oleh warga pendidikan Malaysia ialah masalah pelaksanaan SOP dan dasar-dasar di institut-institut pendidikan sehingga menyebabkan terbitnya kluster-kluster COVID-19 di pusat-pusat tersebut serta mengelirukan orang ramai. Tambahan pula, pihak pembangkang menuntut peletakan jawatan menteri kanan pendidikan, Radzi Jidin serta timbalan-timbalannya kerana gagal menguruskan isu pandemik COVID-19 dalam sektor pendidikan negara. Meskipun begitu, Radzi menyelar kritikan-kritikan tersebut, dengan menyatakan bahawa pihak pengkritik 'tidak pernah menguruskan krisis COVID-19'.

Mari kita lihat dan nilai semula inisitaif yang dilaksanakan oleh kementerian Pendidikan di dalam mendepani pandemik Covid-19.


i. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang dijadualkan akan bersambung lagi untuk tempoh 25 hari apabila sesi persekolahan dibuka semula pada 13 Jun bagi kumpulan A dan Kumpulan B pada 14 Jun ini hingga cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini. Inisiatif ini bagi memastikan penularan Covid-19 di kalangan warga pendidik dan pelajar-pelajar dapat dikawal


ii. Pelancaran DidikTV KPM. DidikTV KPM merupakan TV Pendidikan melalui rangkaian televisyen pendidikan Malaysia yang dimiliki, dihasilkan dan dikendalikan oleh usaha sama antara Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Media Prima Berhad. Rangkaian ini akan menyiarkan program pendidikan untuk pelbagai mata pelajaran sekolah. Pihak kerajaan sedia maklum tentang risiko kemerosotan akademi pelajar-pelajar jika kaedah dan mekanisme pembelajaran tidak disediakan dan diuruskan dengan baik. Pembelajaran melalui siaran televisyen sedikit sebanyak dapat menambahkan pemahaman pelajar-pelajar selain melalui kaedah PDPR. Ini terbukti apabila keputusan SPM yang diumumkan baru-baru ini direkodkan sebagai keputusan terbaik dalam tempoh 5 tahun.


iii. Sejumlah 53,177 unit komputer riba telah diagihkan sehingga 12 Jun kepada pelajar-pelajar di dalam kategori B40. Secara keseluruhan, jumlah yang sepatutnya diagihkan kepada pelajar yang memerlukan adalah sebanyak 150,000 unit menjadikan 36% telah pun berjaya diagihkan. Ramai yang mengkritik di atas kelewatan pengagihan ini tapi sedarkah kita betapa Covid-19 ini adalah masalah global? Sedarkah kita pembekal-pembekal alatan elektronik kebanyakannya mengurangkan kapasiti perbekalan samada dengan cara mengurankan jumlah tenaga kerja yang beroperasi secara harian atau pun menutup sebahagian kilang mereka daripada beroperasi. Ini pastinya merencatkan usaha baik kerajaan di dalam membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19 di dalam menyediakan kemudahan alatan pembelajaran kepada anak-anak mereka. Isu keperluan lebih tinggi daripada perbekalan sudah semestinya memberikan kesan ketara kepada harga alatan elektronik ini. Jika dahulu harga purata untuk sebuah komputer riba dengan spesifikasi yang sederhana di dalam RM 2500 sahaja tetapi kini harganya telah mencecah RM 3199. Sudah pastinya kuantiti pembelian akan berkurangan disebabkan kenaikan ini.


iv. Suntikan vaksin untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM. Dua peperiksaan besar yang boleh mempengaruhi masa depan dan kerjaya pelajar-pelajar sudah pastinya banyak memerlukan sesi pembelajaran secara bersemuka, siri ulangkaji dan latih tubi bersama guru-guru subjek dan sesi kelas tambahan. Risiko untuk pelajar terganggu dengan kekangan sumber pendidikan pastinya akan terjadi jika mereka tidak diberi vaksin. Terima suntikan vaksin tidaklah bermakna tidak akan dijangkiti tetapi lebih kepada mengurangkan kesan kepada simptom-simptom gejala penyakit ini yang pastinya boleh membawa maut. Ini suatu langkah yang baik di dalam mengurangkan tekanan serta kemurungan dari segi mental mereka.


v. Pelaksanaan pengambilan khas melibatkan 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 dalam masa terdekat. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengambilan berskala besar itu dilakukan secara one-off dan bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan guru. Ini lebih kepada pelan jangka panjang dan tidaklah ada kaitan secara langsung kepada Covid-19. Ini kerana, sesi PDPR dan adanya mekanisme pendidikan secara siaran televisyen tidaklah memerlukan pertambahan warga pendidik di dalam melaksanakannya. Pada saya, inisiatif ini jika adapun tidak menokok kekuatan kementerian di dalam mendepani wabak Covid-19, malah jika tiada pun tidaklah menngurangkan kemampuan mereka di dalam menyediakan platform terbaik pendidikan di dalam tempoh yang mecabar ini.


Kelemahan menguruskan kesihatan


Tidak tahulah apa yang dimaksudkan di dalam kegagalan atau pun kelemahan di dalam menguruskan kesihatan. Pada saya setakat ini kementerian telah menjalankan tugas dengan sangat baik. Kita tolak tepi arahan daripada MKN kerana ia banyak melibatkan kementerian-kementerian selain kementerian kesihatan tetapi cadangan dan pelan pemulihan mereka adalah secara keseluruhannya berdasarkan statistik, fakta serta angka dan langsung tidak dipengaruhi oleh keputusan politik. Tiada perubahan SOP yang ketara dilaksanakan. Jika dahulunya kita dikehendaki memakai penutup muka, sekarang tetap masih sama masih perlu memakainya dan penggunaan bersama pelindung muka sangat adalah sangat digalakkan. Cadangan menggunakan 2 lapisan penutup muka di Kawasan-kawasan yang kadar jangkitannya sangat tinggi juga adalah lebih kepada usaha penambah baikan kementerian di dalam mencegah penularan Covid-19 daripada menjadi lebih kritikal.


Berikut merupakan kadar sembuh serta jumlah vaksinasi yang dibuat setakat semalam,


Peningkatan suntikan vaksinasi harian secara puratanya 140,000 dan kadar sembuh lebih tinggi daripada kadar kes baharu merupakan indikator yang paling jelas dan nyata terhadap kejayaan kerajaan secara amnya serta kementerian kesihatan secara khususnya di dalam menguruskan isu kesihatan rakyat.


Rata-rata semua negara di dunia ini tidak berani mengisytiharkan mereka telah menang di dalam melawan Covid-19 dan bebas secara mutlak. Di United Kingdom menunjukkan kes positif secara purata minggu ini kira-kira 6,000 kes sehari. England, salah sebuah negara pengeluar vaksin tetapi setakat ini belum pun capai 50 peratus vaksinasi. Di dalam pergelutan politik, kita masih mempunyai cabinet yang paling tenang, dan seingat saya tidak ada satu pun peristiwa di mana timbulnya pertengkaran. Jadi dimana gagalnya kerajaan sekarang? Atau hanya permainan sentimen orang-orang politik?



Mohammed Nizam Bin Hassan.



--PN Online


bottom of page