top of page
Writer's pictureArissa Azman

Kerjasama BN, PN mampu dipraktik di Melaka – Hamzah

20 OKTOBER 2021

MELAKA: Jalinan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan mampu dipraktikkan di Melaka, khususnya dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 20 November ini.


Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penubuhan Kerajaan Pusat yang ditunjangi Perdana Menteri daripada UMNO membuktikan, perkara itu tidak mustahil diterjemahkan di negeri ini.


“Tidak timbul perselisihan, malah jalinan kerjasama politik bersama UMNO sebagaimana di peringkat Pusat mampu dipraktikkan di negeri ini.


“Kerajaan Pusat telah membuktikan bahawa kita boleh bekerjasama, bukan hanya di Melaka malah di peringkat Pusat boleh bekerjasama. Maknanya di seluruh negeri boleh melakukan perkara sama.


“Kita hendak melihat negeri Melaka hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, kalau ada perpecahan atau perselisihan faham, semua itu boleh diselesaikan bersama sebelum PRN,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Hamzah menambah, PN akan mengumumkan kerjasama bersama BN bagi menghadapi PRN Melaka dalam masa terdekat.


“Dalam masa terdekat, kami akan umumkan bagaimana kerjasama yang akan diputuskan,” jelasnya.


Terdahulu, UMNO memberi bayangan bahawa BN tidak akan bersendirian dalam mengharungi PRN Melaka.


Meskipun tidak menyatakan secara jelas, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pelbagai pihak telah tampil menyatakan hasrat berkerjasama dan parti itu sentiasa berfikiran terbuka.


Jelasnya, bagaimanapun, BN belum memuktamadkan secara rasmi siapakah rakan kerjasama bagi menghadapi PRN kali ini.


Tegas beliau, keputusan hanya dibuat dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO, kemudian disusuli Dewan Tertinggi BN yang akan diadakan pada minggu depan atau sebelum penamaan calon.

Comments


bottom of page