• newsatmy

Kertas siasatan kes Neelofa rentas negeri beli karpet di peringkat akhir - Polis

7 Mei 2021

SEREMBAN: Kertas siasatan terhadap selebriti sensasi, Noor Neelofa Mohd Nor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan merentas negeri membeli karpet di Nilai 3, kini di peringkat akhir.


Lapor Sinar Harian hari ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Mat Yusop berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak pendakwa raya, namun terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil.


"Siasatan sudah di peringkat akhir dan telah pun dirujuk kepada pendakwa raya, serta dikembalikan semula bagi memperkemaskan lagi siasatan.


"Kita menjangkakan dalam masa terdekat ini akan dimaklumkan, kalau ada keputusan nanti kita akan beritahu kepada pihak media," katanya.


Beliau ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini pada Khamis.


Pada Selasa, bekas pengacara MeleTOP dan usahawan popular, Noor Neelofa Mohd Nor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail telah memberi keterangan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada jam 2.30 petang.


Keterangan mereka diambil selama lebih empat jam dan selesai kira-kira jam 6.45 petang.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, keterangan tersebut adalah berkaitan penularan gambar dan video dalam media sosial berkaitan pasangan tersebut yang berada di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai dekat sini pada Ahad lalu.

-Astro Awani