Kes buli MRSM: Polis sahkan mangsa dibuli kerana tegur rakan tonton video lucah
14 Disember 2021
Sebelum ini kecoh berkenaan kes buli seorang pelajar tingkatan tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar yang ditumbuk di bahagian perut. Rakaman kepada kejadian itu kemudiannya ditularkan di serata laman sosial seperti Twitter dan Facebook.
Lebih mengejutkan, siasatan pihak polis baru-baru ini mengesahkan bahawa punca kejadian buli di sekolah berasrama penuh tersebut adalah gara-gara tindakan mangsa menasihati salah seorang dari suspek untuk berhenti menonton video lucah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan berkata, ia adalah hasil siasatan dan keterangan yang diperolehi daripada mangsa buli berkenaan.
Kita sudah menemubual mangsa dan mendapati punca pergaduhan atau mengapa dibuli kerana mangsa dikatakan menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah melalui telefon bimbit.”
Tambahnya lagi, mangsa turut mengatakan bahawa dia akan mengadu pada warden atau guru sekiranya individu tersebut tidak berhenti berbuat demikian. Hal itu sekaligus dikatakan sebagai punca suspek bertindak untuk memukul dan membuli mangsa.
Mior Faridalathrash turut berkata keadaan tersebut, seorang pelajar tingkatan tiga telah mengarahkan untuk enam orang suspek bertindak untuk memukul mangsa.
Pelajar Tingkatan 3 berusia 15 tahun iaitu salah seorang suspek yang ditahan mengarahkan enam suspek untuk menumbuk dan juga menendang mangsa,” – Mior Faridalathrash
Menurutnya, insiden buli itu berlaku pada 10 Disember, sehari sebelum para pelajar pulang ke kediaman halaman masing-masing sempena cuti semester. Namun pihaknya sudah bertindak merakam percakapan saksi berikutan video tersebut tular di media sosial.
Setakat ini polis sudah membuat tangkapan seramai sepuluh individu yang dikatakan terbabit dengan insiden terbabit termasuk rakan-rakan yang bersubahat dalam insiden.
Seramai lapan saksi dipanggil dan diambil keterangan, kemudian kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai rakam percakapan”
Mior Faridalathrash turut menegaskan bahawa mereka telah merampas 11 telefon bimbit untuk dihantar ke unit forensik bagi melihat kandungan di dalamnya.
Sebaik saja siasatan berakhir, Mior turut menyatakan bahawa pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk sebarang tindakan lanjut.
Comments