top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Kes demam denggi meningkat 3.5% minggu lepas - KP Kesihatan


KUALA LUMPUR, 28 Dis- Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 tahun ini (ME51/22) dari 18 hingga 24 Disember meningkat 3.5% iaitu 2,018 kes berbanding 1,950 kes pada minggu sebelumnya. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut berbanding lima pada minggu sebelumnya. Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 64,078 kes berbanding 25,794 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 148.4% manakala 50 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021. “Sebanyak 58 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 32 lokaliti hotspot berada di Selangor, 16 lokaliti di Sabah, enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan empat lokaliti di Pulau Pinang,” katanya.


Dr Noor Hisham turut menyarankan masyarakat agar melakukan aktiviti gotong-royong bagi memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes dan seterusnya menurunkan insiden jangkitan demam denggi. Beliau berkata bagi kawasan dilanda banjir, sampah, barang lusuh dan barangan dihanyutkan hendaklah dilupuskan secara berhemah selain perlu memastikan tiada air bertakung di persekitaran premis.

bottom of page