• Arissa Azman

Kes kematian disebabkan Covid-19 tunjuk trend menurun

14 September 2021

Kes kematian disebabkan oleh Covid-19 di negara ini dilihat terus menunjukkan trend penurunan di mana 99 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam, semalam.


Menurut Harian Metro, data yang dikongsi di COVIDNOW itu turut melaporkan 193 kes kematian tertunggak atau ‘backlog’ menjadikan jumlah keseluruhan individu yang meninggal dunia ialah 292 kes.


Daripada jumlah keseluruhan kes kematian itu, sebanyak 65.44 peratus kes belum lengkap divaksinasi manakala 52.66 peratus pula sudah lengkap menerima pelalian berkenaan.


Setakat jam 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Malaysia telah mencatatkan 20,980 kes sembuh, melebihi jumlah kes baru direkodkan iaitu sebanyak 19,198 kes.


Jumlah kes baru tersebut menjadikan kes kumulatif kini sebanyak 1,979,698 dan bagi kes sembuh pula, jumlah kumulatif pulih kini sudah mencatat lebih 1.7 juta.


Secara keseluruhan, Sabah menjadi negeri tertinggi yang merekodkan kes kematian semalam termasuk jumlah tertunggak iaitu 84 kes, diikuti dengan Lembah Klang sebanyak 63 kes (Selangor 45 kes, Kuala Lumpur 18 kes).


Menerusi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes kategori 3, 4 dan 5 semakin berkurang di mana 253 kes dilaporkan dan bagi kategori 1 dan 2 pula sebanyak 18,945 kes direkodkan semalam.