top of page
  • newsatmy

Kesatuan umat: Usah terperangkap dalam jurang sama


IBN KATSIR melalui kitabnya ‘As-Sirah An-Nabawiyyah’ pernah menceritakan kehairanan kaum Musyrikin Makkah ketika didatangi oleh Ka’ab bin Al-Asyraf (pembesar Yahudi Bani Nadhir) yang menuntut kerjasama untuk memerangi Rasulullah S.A.W di Madinah, dalam keadaan Bani Nadhir sendiri terikat dengan piagam negara Islam tersebut.


Kehairanan tersebut timbul kerana kaum Yahudi pada waktu tersebut dikenali sebagai Ahli Kitab (penganut Taurat) yang mempunyai persamaan dengan al-Quran dari sudut akidah dan syariatnya. Maka, Umat Islam dan Yahudi pada waktu itu sepatutnya bersaudara.

Namun disebabkan kecemburuan terhadap gabungan Aus dan Khazraj bersama Islam yang akhirnya meminggirkan monopoli kaum Yahudi di Madinah serta ego kerana dipulaukan oleh Yahudi Bani Qainuqa’ akibat kekalahan di medan Uhud, membuatkan Ka’ab bin Al-Asyraf membutakan mata hatinya untuk terus berdamai di bawah naungan Piagam Madinah yang turut dimeterai oleh kaumnya sendiri.


Sehinggalah dengan terbunuhnya Ka’ab atas perintah Rasulullah S.A.W, membuktikan bahawa tidak semua rakyat dalam kalangan Bani Nadhir bersetuju dengan karakter pemecah belah kesatuan umat tersebut. Protes ini jelas tergambar melalui kesanggupan mereka untuk meneruskan perjanjian damai di bawah keadilan, kesatuan dan kekuatan pemerintahan Islam, berbanding menghulur tangan kepada pihak Musyrikin Makkah bersama sekutunya yang amat terkenal dengan kelicikan dan penindasan.

Bahkan demi membuktikan ketekalan terhadap kesatuan umat, Baginda Rasulullah S.A.W sendiri sanggup bertandang ke penempatan Bani Nadhir bersama para Sahabat kanannya untuk menyelesaikan sebuah kes pembunuhan, walaupun pernah cuba dikhianati oleh pembesar wilayah tersebut.


Menginsafi iktibar daripada kisah tersebut, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) dengan ini menyatakan sokongan padu terhadap pendirian Presiden PAS bersama Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Al-Fadhil Ustaz Abdullah bin Husin atas usaha untuk beristiqamah mendukung tema Memperkukuh Muafakat Nasional (MN), Mempertahankan Perikatan Nasional (PN).


Selain merujuk kepada penyelarasan kolektif di peringkat Majlis Syura PAS diikuti Piagam Muafakat Nasional, DPPNJ percaya bahawa pendirian tersebut perlu dikekalkan bukan semata-mata atas dasar politik berkepentingan. Bahkan, ianya demi tujuan yang lebih besar iaitu menghimpunkan segala kekuatan jentera merentasi politik kepartian, kesepaduan gerak kerja NGO serta suara rakyat terutamanya umat Islam agar bersatu menghadapi musuh sebenar yang saban hari berusaha merungkai prinsip beragama dan bernegara melalui penggubalan polisi satu demi satu setelah berkuasa.


Justeru, kami para pemuda PAS Negeri Johor ingin menyatakan kesediaan untuk menyahut seruan pimpinan PAS agar terus mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) di samping menjauhi api perbalahan yang mampu menjerumus ke arah perpecahan umat, malah dimurkai oleh Allah Taala bertepatan dengan firman-Nya melalui surah Al-An’aam ayat ke-65:

قُلْ هُوَ الْقَادِرُ عَلَىٰ أَن يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا مِّن فَوْقِكُمْ أَوْ مِن تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا وَيُذِيقَ بَعْضَكُم بَأْسَ بَعْضٍ ۗ انْظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

“Katakanlah: Dialah yang berkuasa untuk mengirim azab kepadamu, dari bahagian atas atau bawah kakimu, atau Dia menempatkan kamu ke dalam golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu akan kejahatan oleh sebahagian yang lain. Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti agar mereka memahami.”

Tidak ketinggalan, adalah menjadi hasrat DPPNJ agar seruan Memacu Perpaduan ini turut disambut oleh para belia seluruh Negeri Johor demi membuktikan bahawa muafakat umat bukan hak milik eksklusif bagi pihak tertentu, sebaliknya ia bersifat inklusif untuk kesejahteraan bersama.


Namun diingatkan bahawa setiap perkara ada batasnya. Pengakhiran bagi Bani Nadhir juga bukanlah pengakhiran yang bahagia. Mereka akhirnya diusir keluar dari bumi Madinah kerana masih terdapat cubaan khianat untuk membunuh Rasulullah S.A.W yang awalnya hanya dirancang oleh segelintir pendendam, tetapi hasil kerugiannya terpaksa ditanggung oleh seluruh penduduk wilayah. ‘Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran’. Apa khabar semua? Iktibar pengkhianatan Bani Nadhir, usah terperangkap dalam jurang yang sama.






USTAZ AHMAD NAWFAL MAHFODZ Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ)

bottom of page