top of page
  • admin

Kesepakatan Malaysia-Indonesia tangani diskriminasi minyak sawit beri impak positif - Penganalisis


KUALA LUMPUR, 10 Jan- Kesepakatan Malaysia-Indonesia dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit di peringkat antarabangsa dilihat akan membawa impak positif kepada industri itu untuk tempoh jangka masa panjang. Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata peranan kedua-dua negara selaku pengeluar terbesar dan kedua terbesar di dunia mengenai isu tersebut juga boleh mengurangkan kesan rantaian kepada negara pengeluar yang lain.


"Ini kerana kita tidak mahu melihat kesan domino akibat diskriminasi oleh Kesatuan Eropah yang akan menyebabkan negara lain juga akan melakukan diskriminasi yang sama. "Oleh itu dengan menangkis sebarang fitnah atau sebarang bentuk diskriminasi secara bersama antara kedua negara, ini akan menjadi lebih bermakna dan berkesan serta mampu memastikan hasil minyak sawit kekal sebagai antara penyumbang yang signifikan untuk kedua-dua negara," katanya. Profesor Madya Dr. Ahmed Razman berkata demikian kepada RTM. Semalam, Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam kenyataan sempena lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia berkata Malaysia-Indonesia akan memperkukuh kerjasama dalam usaha memerangi diskriminasi terhadap minyak sawit di peringkat antarabangsa menerusi Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit.

bottom of page