Kim Jong-Kook, Jason Mraz, Sheila Majid, Ella, M. Nasir bakal meriahkan Konsert Astro 25 Tahun
14 September 2021
KUALA LUMPUR: Sepanjang 25 tahun memberi khidmat kepada Malaysia, stesen televisyen satelit pertama negara, Astro sentiasa memastikan pelanggan-pelanggannya menikmati sepenuhnya kegembiraan yang ditawarkan.
Kesetiaan pelanggan menyokong stesen berkenaan selama suku abad amat dihargai Astro.
Justeru, sebagai tanda penghargaan di atas sokongan tidak berbelah bahagi itu, Astro akan menerbitkan sebuah persembahan eksklusif dan istimewa kepada pelanggan-pelanggan mereka.
Pementasan ‘Astro 25 Concert’ itu bakal menghimpunkan barisan selebriti hebat tanah air dan antarabangsa.
Menurut Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, selain mendedikasikan pementasan ini kepada pelanggan-pelanggan, Astro 25 Concert juga bagi menghargai bakat-bakat tempatan dalam industri seni tanah air.
Kata Agnes, Astro sangat komited untuk memastikan pelanggan-pelanggannya kekal bersama-sama dalam membangunkan stesen berkenaan.
"Seiring dengan tema sambutan Astro yang ke-25 tahun iaitu ‘Better Together’, kami percaya bahawa kita semua akan lebih baik jika terus kekal bersama.
“Konsert ini diadakan istimewa buat setiap pelanggan dan bakat-bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong Astro dalam misi memastikan rakyat Malaysia sentiasa terhibur dan kekal berinformasi di kala kami berusaha melebarkan sayap menjangkaui TV dan radio,” kata Agnes.
Astro 25 Concert yang disifatkan sebagai sebuah pementasan mega bakal menampilkan selebriti dari luar negara termasuk Kim Jong-Kook (Running Man), Tomorrow X Together, Jason Mars, Pink Sweat$, Bazzi, Jamie Miller, Kumpulan Dewa 19, Once Mikael, Taufik Batisah, Kumpulan Mirror Ruco Chan, Gigi Yim dan pelawak terkenal dari Singapura, Kumar.
Sementara nama-nama besar industri hiburan tanah air yang akan turut bersama menjayakan konsert ini ialah Datuk Sheila Majid, Ella, Jaclyn Victor, Datuk M. Nasir, Erra Fazira, Datuk Syafinaz, Liza Hanim, Datuk Hattan, Datuk Aznil Haji Nawawi, Zee Avi, Dayang NurFaizah, Misha Omar, Hael Husaini, Mugen Rao, Harith Iskandar dan Annuar Zain.
Tidak ketinggalan, penyanyi berbakat, Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rosli, Amir Masdi, Siti Nordiana, Naqiu, Yoke Chen, Sarah Suhairi, Santesh, Nicole Lai, Azharina, Han Byul, Noryn Aziz, Vanessa, Vince Chong dan Aina Abdul Lil J, Orga, TUJULOCA, MK K-Clique, Yonnyboii dan Abigail.
Program istimewa ini akan dihoskan oleh Nabil Ahmad dan personaliti radio Ean, Arnold dan Aisyah Sinclair dan akan bersiaran pada 25 September 2021 (Sabtu) selama tiga jam bermula pukul 8.30 malam di saluran 100 selain boleh juga distrim di Astro Go.
Siaran ulangan atau 'encore viewing' juga boleh ditonton menerusi platform On Demand sejurus berakhir konsert berkenaan.
Comments