top of page
  • admin

KKD fokus tangani berita palsu, ucapan kebencian


IPOH, 26 Feb- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan media sosial dalam usaha menangani berita palsu dan ucapan kebencian. Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching berkata terdapat trend peningkatan dikesan sejak Januari tahun ini dengan 35 kes telah disiasat bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jelas beliau, agensi bawah KKD seperti Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan juga akan terus bekerjasama dalam menangani masalah tersebut. "Jadi salah satu tanggungjawab ataupun amanat yang kami ingatkan agensi-agensi seperti RTM dan Jabatan Penerangan adalah apabila ada berita palsu, mereka perlu segera keluarkan penafian atau betulkan kenyataan itu secepat mungkin, supaya orang ramai ada akses. Kalau mereka celik digital, mereka boleh buat carian bagaimana mereka boleh dapat informasi yang betul" katanya ketika membuat tinjauan di Medan Selera, Stadium Perak di Ipoh.

(Teo Nie Ching turut bersiaran selama 15 minit secara eksklusif di konti Perak FM)

Tambahnya Teo, berita palsu dan ucapan kebencian tidak boleh dibiarkan di media sosial kerana ia mampu menggugat keharmonian masyarakat selain menjadi ancaman kepada negara. Selesai sesi tinjauan, beliau mengadakan lawatan ke Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Dalam kunjungan tersebut, Teo mendengar taklimat daripada beberapa agensi bawah kementerian seperti RTM, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bernama. Beliau turut bersiaran selama 15 minit secara eksklusif di konti Perak FM.

bottom of page