• newsatmy

KKM ada kuasa kurangkan kompaun - Ismail Sabri

17 Mac 2021

Kerajaan tidak akan membatalkan denda RM10,000 bagi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi jumlah itu boleh dikurangkan menerusi rayuan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.


Ismail berkata, jumlah itu boleh dikurangkan bagi kesalahan tertentu misalnya bagi individu yang tidak memakai pelitup muka.


"Saya difahamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan bermesyuarat petang ini (berhubung kriteria kompaun)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.


Katanya, keputusan mesyuarat itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet atau mesyuarat Majlis Keselamatan Negara sebelum kerajaan membuat sebarang pengumuman.


"Kita dengar, faham yang ramai keliru dengan denda RM10,000 dan rasa ia akan dikenakan untuk setiap kesalahan. Sedangan beberapa kali ketua polis negara dan saya jelaskan yang itu jumlah maksimum.


"KKM boleh kurangkan kompuan dan kita telah setuju supaya KKM buat perincian dari segi kesalahan dan hukuman," katanya lagi.


Kata Ismail lagi, budi bicara boleh diberikan misalnya bagi pesalah yang tidak memakai pelitup muka yang berpendapatan rendah atau memiliki tanggungan yang banyak.


"Ia berbeza dengan orang yang kerja sendiri dan ada pendapatan yang besar.


"Antara dua (kategori ini), KKKM di peringkat daerah ada budi bicara untuk beri pengurangan (denda)," katanya lagi.


Peningkatan denda daripada RM1,000 kepada RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac lalu.


Menurut Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, denda itu untuk pesalah berulang serta mereka yang berisiko mencetuskan penularan.


Menurut Abdul Hamid, anggota polis perlu mengeluarkan notis dengan denda maksimum kerana mereka tidak berkuasa untuk menetapkan jumlah.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.