top of page
Writer's pictureNihaba

KKM Kaji Semula SOP Solat Rapatkan Saf-Wan Saiful

5 Disember 2021

KUBANG PASU: Datuk Wan Saiful Wan Jan memohon Kementerian Kesihatan supaya mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) untuk susunan saf ketika solat berjemaah agar dapat dirapatkan kembali.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu itu, walaupun SOP kehadiran ke masjid kini telah membenarkan lebih ramai ahli jemaah hadir untuk menunaikan solat berjemaah, termasuk solat Jumaat namun masih terdapat pandangan dan permintaan berbeza mengenai jarak saf dalam menyempurnakan ibadah terpenting umat Islam itu. “Saya mendengar dan membaca pandangan banyak pihak mengenai isu adakah saf masih perlu dijarakkan atau sudah boleh dirapatkan. “Sudah ramai yang berpandangan contohnya jika dalam feri dari Kuala Kedah ke Langkawi boleh duduk rapat-rapat, kenapa solat yang waktunya jauh lebih singkat tak boleh rapatkan saf? “Mungkin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada sebab untuk menentukan SOP sebegitu. Jika SOP ini belum sesuai untuk diubah, ada baiknya jika sebab musababnya diperjelaskan dengan teliti agar kita semua faham,” katanya selepas menunaikan solat berjemaah di Masjid Sharifah Fatimah Jitra, di sini.

Wan Saiful yang juga merupakan Pengerusi PTPTN berkata, bilangan rakyat yang bertanya semakin hari semakin ramai dan lebih baik diperjelaskan sebabnya untuk mengelak timbul fitnah terhadap kerajaan. Tambah beliau lagi, “kawan-kawan Ketua Perungut Kebangsaan” masih ramai belum masuk Sungai Buloh. Nanti ada saja yang pihak tersebut rungutkan. Terdahulu, kerajaan Arab Saudi telah mula membenarkan umat Islam di negara itu menunaikan solat fardu berjemaah dengan kembali merapatkan saf selepas lebih setahun perlu dijarakkan bermula 16 Oktober lalu.


Comments


bottom of page