top of page
Writer's pictureArissa Azman

KKM nafi dakwaan lima remaja maut akibat vaksin

30 September 2021

Baru-baru ini, tular video yang menunjukkan seorang aktivis membuat pemakluman umum pada 28 September 2021 mengenai kematian lima orang remaja selepas menerima vaksinasi Covid-19 di Perak, Sabah dan lokasi yang tidak dimaklumkan, serta kemasukan dua orang remaja ke hospital di Perak selepas vaksinasi Covid-19.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum video yang tular itu dan siasatan telah dibuat terhadap kenyataan aktivis tersebut.


Kenyataan pertama yang dibuat:


Dua orang pelajar Sekolah Menengah Tasek Damai, Ipoh yang telah meninggal selepas diberi vaksin seorang anak kami di Lahad Datu yang telah meninggal dunia selepas di vaksin di Sabah.


Hasil siasatan menunjukkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun merupakan pelajar tingkatan 5 di SMK Tasek Damai.


Beliau adalah seorang pesakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin.


Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos 2021 sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun merupakan pelajar tingkatan 5 di SMK Tasek Damai dan menghidap penyakit Jantung Kongenital.


Pelajar ini telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk dan bantuan pernafasan dan resusitasi telah diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September 2021 dan belum menerima vaksin Covid-19.


Punca kematian adalah 'Sepsis with Underlying Congenital Health Disease'.


Hasil siasatan terhadap kematian Remaja di Lahad Datu ekoran vaksin Covid-19 mendapati tidak ada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi.


Kenyataan kedua yang dibuat:


Menyatakan solidarity kami kepada seorang ibu di mana kedua-dua anaknya kini sedang mengalami AEFI di Ipoh.


Hasil siasatan mendapati dua orang anak beliau berusia antara 16 hingga 18 tahun mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.


anak yang berusia 16 tahun telah dibenarkan keluar dari hospital manakala remaja yang berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital tersebut.


Semakan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampinga kedua beradik ini masih belum diterima.


Sehubungan dengan itu, KKM menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI), untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.


KKM juga menasihatkan semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum supaya bersedia untuk bertanggungjawab ke atas kesan dan implikasi daripada tindakan yang dibuat.


Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato' Dr. Noor Azmi Ghazali berkata penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab.


"Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber maklumat yang dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber yang sahih atau pihak bertanggungjawab,


"Kenyataan yang salah akan menyebabkan kekeliruan dan salah tanggap ibu bapa terhadap Program Vaksinasi Covid-19 untuk Remaja," ujar beliau.


Dalam pada itu, KKM menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty.



Comments


bottom of page