• newsatmy

KL City tambah derita Sri Pahang


10 April 2021 CHERAS: Sri Pahang FC terus dirundung malang apabila tewas buat kali kelima musim ini selepas tumbang 2-1 di tangan KL City FC pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Gol daripada setiap babak oleh KL City FC sudah cukup untuk memberikan mereka tiga mata berharga selepas mengharungi rentetan tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Keputusan itu juga pasti memberi lebih tekanan kepada Dollah Salleh selepas skuad Tok Gajah kini menghuni zon penyingkiran dengan hanya lima mata daripada lapan perlawanan.

Pada aksi terbabit, KL City FC mendahului selepas Paulo Josue menampan mudah bola di hadapan gol pada minit ke-18. Tuan rumah terus melebarkan jurang pada minit ke-70 apabila Daniel Ting menyumbat masuk gol pertamanya musim ini selepas merembat masuk bola yang sebelum itu ditepis Zarif Irfan Hashimuddin.

Bagaimanapun Sri Pahang FC beroleh gol lewat permainan menerusi Herold Goulon namun ia tidak cukup untuk membantu mereka meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Selepas ini, Sri Pahang FC akan berdepan tugas sukar berdepan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) sementara KL City FC pula akan menentang Terengganu FC (TFC).

-BH Online