top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

'Kluster Demonstrasi' salah guna nama rakyat demi agenda politik

3 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Tindakan kumpulan ahli Parlimen pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhimpun dan demonstrasi di Dataran Merdeka menuju ke Parlimen mampu mencetuskan kluster baharu, seperti mana demonstrasi kumpulan Baju Hitam pada 31 Julai lalu.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata tindakan mereka yang mementingkan diri itu boleh mewujudkan 'Kluster Demonstrasi' sekaligus membahayakan nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia.


"Disebabkan kuasa, golongan ini sanggup tidak menjaga SOP dengan turun membuat demonstrasi dan membahayakan nyawa rakyat. Mereka ini menyalahgunakan nama rakyat demi agenda politik mereka,


"Tindakan mereka yang mementingkan diri itu hanya akan merosakkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diusahakan kerajaan," katanya ketika dihubungi Wacana.my.



Terdahulu, sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang berarak dari Dataran Merdeka menuju bangunan Parlimen susulan penangguhan Sidang Dewan Rakyat, Parlimen pada Isnin.


Selain Anwar, antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Bagan Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Menurut Razali, kerajaan sekarang sedang berusaha sedaya upaya untuk menolong negara keluar daripada kemelutan ekonomi dan pandemik Covid-19.


Jelasnya, usaha itu wajar mendapat kerjasama dan komitmen daripada pihak pembangkang.


"Sibukkan rakyat terlebih dahulu, bukan sibuk hendak demonstrasi sahaja. pembangkang begini selalu menyusahkan orang ramai,


"Masalahnya sekarang ialah ahli Parlimen pembangkang sendiri tidak mengambil peluang untuk berbincang elok-elok di Dewan Rakyat malah hanya mempertikaikan peraturan dan kerajaan sahaja.


"Kalau tidak betul dan memerlukan penambahbaikan, maka berilah pendapat tetapi tindakan ini tidak diambil oleh pihak pembangkang,"katanya.



--PN Online

bottom of page