top of page
  • zaman

Komunikasi yang tidak tepat Rafizi berkait punca inflasi


PETALING JAYA,27 Dis: Pusat Pendidikan Pasaran (CME) menyifatkan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung inflasi dan tabiat belanja pengguna, minggu lalu, sebagai “komunikasi yang tidak tepat”


Pada sidang media minggu lalu, Rafizi berkata, tabiat belanja menjadi pendorong utama kepada inflasi. Katanya, dalam teori ekonomi, permintaan sepatutnya berkurang apabila harga meningkat, namun trend itu tidak dapat dilihat di Malaysia.


Rafizi berkata, keadaan itu berlaku terutama membabitkan kategori makanan dan bukan alkohol, yang mana permintaan tidak menurun walaupun harga meningkat.


Memetik pemenang hadiah Nobel ekonomi, Friedrich August von Hayek, CME menjelaskan “maksud asal inflasi dan sebetulnya adalah peningkatan berlebihan kuantiti wang, sehingga membawa kepada peningkatan harga”.


“Walaupun kita memahami sasaran untuk ‘menggegar’ pengguna dengan kenyataan sedemikian, kita juga percaya pihak kementerian boleh menghantar jelas tanpa menjejaskan ketepatan alasan ekonomi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CME Carmelo Ferlito, dalam kenyataan.


“Sekiranya kerajaan serius menangani inflasi, ia patut bermula dengan mengenalpasti sewajarnya punca dan melaksanakan dasar komunikasi secukupnya.


“Selain itu, sekiranya kerajaan mahu rakyat berhemah menguruskan perbelanjaan mereka, kerajaan patut menghantar isyarat dengan berhemah dalam kewangannya, yang mana wang dipungut daripada rakyat menerusi percukaian.”


Ferlito berkata, dasar fiskal dan monetari besar Malaysia yang diumumkan sebelum ini merupakan usaha mengurangkan kesan ekonomi susulan pandemik Covid-19 – RM305 bilion (23% daripada KDNK) pada 2020 dan RM225 bilion (15% daripada KDNK) pada 2021 – menjadi “akar tunjang” isu inflasi yang sedang melanda.


Katanya, bagi menangani inflasi sewajarnya, kerajaan sepatutnya secara berkala memotong perbelanjaannya untuk mengurangkan kuantiti wang dalam pasaran.


Ferlito juga menggesa pelaksanaan reformasi bagi mengembalikan bajet seimbang mengikut keutamaan.


Dalam maklum balas terhadap kritikan diterimanya, Rafizi berkata, mesej utama yang mahu disampaikan adalah keperluan menangani bekalan dan permintaan untuk mewujudkan “keanjalan permintaan” lebih besar mempengaruhi harga barangan.

Comments


bottom of page