• newsatmy

Kontrak Neymar, Mbappe? Saya fikir PSG akan dapat berita baik - Leonardo

9 April 2021

PENGARAH Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo, menjangkakan satu berita gembira akan diterima pasukan itu berkaitan lanjutan kontrak dua pemain bintang mereka, Kylian Mbappe dan Neymar.


PSG sudah berunding dengan Mbappe dan Neymar -- yang masih mempunyai kontrak bersama juara Ligue 1 itu sehingga 2022 -- di sebalik laporan terhadap minat beberapa pasukan LaLiga.


Mbappe sudah lama dikaitkan untuk menyertai Real Madrid manakala Neymar pula dengan kepulangan ke Barcelona -- pasukan yang ditinggalkannya untuk menyertai PSG pada 2017.


Ditanya mengenai dua pemain itu selepas Mbappe menghasilkan jaringan berganda untuk PSG berkelebihan 3-2 je atas Bayern Munich dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Leonardo berkata kepada Sky Italy: "Saya fikir kami mempunyai berita baik yang akan membuatkan kami gembira.


"Kami tidak lama lagi akan mendapat situasi konkrit untuk kontrak Mbappe dan Neymar."


Mbappe telah menjaringkan lapan gol dalam UCL musim ini -- menjadi pemain Perancis yang menjaringkan gol terbanyak semusim dalam kempen itu sebaris Wissam Ben Yedder (2017-18) dan David Trezeguet (2001-02).


Sejak melakukan penampilan pertama dalam UCL musim 2013-14, Neymar telah melakukan 26 bantuan gol, rekod terbanyak buat mana-mana pemain era ini, dan pemain kebangsaan Brazil itu telah terlibat dengan 67 gol (41 jaringan dan 26 bantuan) dalam 66 penampilan kejohanan itu.


- StadiumAstro.com \ Muzaffar Musa

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.