top of page
  • newsatmy

Kos pengeluaran ayam daging RM6.53/kg, telur RM0.48 sebiji - DOSM


Purata kos pengeluaran ayam pedaging di Malaysia untuk bulan September ialah RM6.53 sekilogram, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Uzir Mahidin.


Mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran ayam, beliau berkata, harga ayam di ladang direkodkan berada di antara julat RM6.86 hingga RM7.84.


Margin keuntungan sekilogram ayam di peringkat borong pula, jelasnya lagi, merekodkan RM1.30, manakala, margin keuntungan sekilogram ayam di peringkat runcit mencatatkan RM1.25.

Mohd Uzir berkata demikian dalam Laporan Kajian Khas Kos Pengeluaran Ayam Dan Telur 2022 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.


Sementara itu, bagi telur ayam pula, beliau berkata, purata kos pengeluaran sebiji telur ayam mencatatkan RM0.48 pada bulan yang sama.


“Sekiranya mengambil kira 5 peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran telur ayam, harga telur ayam di ladang direkodkan berada di antara julat RM0.50 hingga RM0.58 sebiji.


“Margin keuntungan sebiji telur ayam di peringkat borong dan runcit pula masing-masing mencatatkan RM0.04 dan RM0.02,” katanya lagi.


Laporan tersebut menyebut, isu berkaitan kos pengeluaran ayam mula dibangkitkan sejak awal 2021 apabila seluruh dunia termasuk Malaysia sedang melalui proses pemulihan ekonomi kesan pandemik COVID-19.


Permintaan tinggi bahan mentah terutamanya bagi komoditi makanan ternakan ditambah dengan kekurangan stok bekalan menjadikan harga komponen makanan ternakan di peringkat global meningkat dengan mendadak.


Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, komposisi kos pengeluaran ayam pedaging meliputi 98.6 peratus kos langsung dan 1.4 peratus kos tidak langsung.

“Antara komponen terbesar dalam kos pengeluaran ayam pedaging ini ialah makanan ternakan (65.1 peratus) dan kos pembelian day-old chick (16.0 peratus).

“Kos pengeluaran telur ayam dari pula merangkumi 96.9 peratus kos langsung dan 3.1 peratus kos tidak langsung, di mana 76.2 peratus daripadanya melibatkan kos makanan ternakan ayam dan 15.8 peratus adalah kos utiliti dan gaji & upah. Kos pembelian day-old chick meliputi 2.2 peratus daripada jumlah kos pengeluaran telur,” katanya lagi.


Kos makanan ternakan juga, jelas Mohd Uzir, berbeza mengikut jenis.

Bagi ayam pedaging, beliau berkata, purata kos makanan ternakan ayam pedaging bagi jenis Starter ialah RM132.04 per 50 kg.


“Manakala, purata kos makanan ternakan ayam pedaging bagi jenis Grower dan Finisher masing-masing mencatatkan RM129.71 per 50 kg dan RM126.96 per 50 kg.

“Makanan ternakan ayam jenis Starter lazimnya lebih mahal disebabkan oleh kandungan nutrien yang lebih tinggi dan kesesusaiannya untuk tumbesaran anak ayam,” jelasnya lagi.


Bagi ayam penelur, Mohd Uzir berkata, purata kos makanan ternakan bagi jenis Starter ialah RM131.57 per 50 kg.

“Purata kos makanan ternakan bagi jenis Grower dan Layer masing-masing adalah RM117.08 per 50 kg dan RM115.10 per 50 kg.

“Selain itu, semasa kajian, harga belian bagi seekor day-old chick (pedaging) di Malaysia secara purata merekodkan RM2.12 dan RM3.32 bagi seekor day-old chick (penelur). Harga anak ayam ini kebiasaannya akan berubah bergantung kepada pasaran semasa,” jelasnya lagi.


Mohd Uzir menjelaskan bahawa laporan tersebut turut menyediakan analisis mengikut negeri, kapasiti ladang dan kategori penternak dan diharap dapat memberikan gambaran yang lebih baik tentang senario pengeluaran ayam dan telur di Malaysia.


Laporan Kajian Khas Kos Pengeluaran Ayam dan Telur, 2022 ini boleh dimuat turun secara percuma di portal Jabatan Perangkaan Malaysia di pautan www.dosm.gov.my.

Comments


bottom of page