top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

KPM keluarkan Pekeliling, hentikan ‘Spot Check’ haid pelajar perempuan

8 NOVEMBER 2021

Bulan lepas, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin, telah membuat lawatan ke Kolej Vokasional ERT di Setapak, Kuala Lumpur selepas terdapat dakwaan 30 pelajar yang berusia antara 18 dan 19 tahun telah diberikan putik kapas untuk membuktikan yang mereka sedang haid.


Memetik laporan dari Malaysiakini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah pun mengeluarkan pekeliling kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri menekankan bahawa pemeriksaan haid adalah dilarang.


Di dalam pekeliling yang dikeluarkan itu, KPM menegaskan yang pemeriksaan fizikal khususnya berkaitan haid dalam kalangan pelajar perempuan tidak sepatutnya berlaku dan meminta agar semua pihak peka dan jalankan pemantauan agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi.


KPM memandang serius perkara ini dan menegaskan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.


“Sehubungan dengan itu, semua jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah hendaklah memastikan amalan dan tindakan pemeriksaan fizikal khususnya berkaitan haid tidak berlaku di mana-mana institusi bawah KPM.


“Tindakan tegas perlu diambil jika amalan sedemikian berlaku di institusi pendidikan bawah KPM.”


Bagaimanapun, Menteri Pendidikan atau kakitangan masih belum mengesahkan tentang dokumen ini namun sumber dari Bahagian Dasar Kementerian memberitahu bahawa pekeliling bertarikh 2 November 2021 tersebut adalah sah.


Pekeliling itu dihantar sebagai surat kepada ketua-ketua jabatan pendidikan negeri, sebab itu tiada dalam laman web KPM.”


Sebelum ini, ramai pelajar dan bekas pelajar mengaku bahawa spot check haid ini telah pun berlaku sejak 20 tahun lalu.


Beberapa dakwaan termasuk perlu menunjukkan tuala wanita yang mempunyai darah, melakukan sapuan faraj dengan menggunakan putik kapas, tisu atau jari dan meminta guru atau pengawas sekolah rasa di bahagian kemaluan untuk memastikan pelajar perempuan memakai tuala wanita.

Comments


bottom of page