top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

KPRJ mahu jadikan Johor peneraju e-sukan


ISKANDAR PUTERI, 18 Okt - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) menerusi anak syarikatnya, Sports Johor Sdn Bhd berhasrat menjadikan Johor sebagai peneraju e-sukan sekali gus membantu menjadikan negeri itu sebagai pusat kemajuan sukan di negara ini.


Ketua Sektor Korporat KPRJ, Khairudin Hasan berkata e-sukan mempunyai potensi untuk dikembangkan.


Menurutnya, Johor E-Sports Festival 2022 (JEF22) yang bermula Mac lepas menerima 7,500 penyertaan.


“Kita lihat e-sukan sebelum ini mungkin tidak nampak jelas siapa peneraju. Kita ambil inisiatif, cuma pendekatan kita adalah secara berdikit-dikit, ikut kemampuan dan bergantung pada sokongan.


“Lebih 7,000 penyertaan itu ramai sebagaimana sukan lain kita buat. Kita nampak Johor ini ada banyak fasiliti, rakyat ramai dan berjiran dengan Singapura jadi memang banyak potensi.


“Selain itu dengan infrastruktur sukan, yang juga satu daripada sebab kita boleh menang Sukan Malaysia (Sukma) dan perancangan Johor ingin jadi kuasa sukan. Ini antara satu daripada sumbangan kecil KPRJ untuk industri sukan,” katanya dalam sidang media JEF22 Grand Final, di sini.


JEF22 Grand Final yang mendapat penajaan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri akan diadakan di Kompleks Sukan EduCity selama tiga hari bermula umaat ini.


Peringkat kelayakan telah bermula pada 22 Mac lepas, diikuti peringkat kedua pada 22 Mei dan peringkat ketiga pada 22 Julai.


Sebanyak 32 pasukan daripada setiap peringkat akan menguji kehebatan masing-masing di peringkat akhir.


Kejohanan JEF22 melibatkan tiga jenis permainan iaitu FIFA22, Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile.


Johan peringkat akhir FIFA22 akan membawa pulang RM10,000 manakala MLBB RM8,000 dan PUBG Mobile pula RM8,000.

Comments


bottom of page