• newsatmy

Krisis dalaman UMNO: Pemuda UMNO Hang Tuah Jaya buat laporan polis

12 Oktober 2021

MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO Hang Tuah Jaya membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Utama Idris Haron berkenaan dakwaan berunsur fitnah terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.


Ketuanya, Rohazam Bakar berkata, ia berikutan dakwaan bekas ADUN itu bahawa Ab Rauf campur tangan dalam urusan kerja Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.


“Beliau membuat dakwaan pada waktu dia menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, tapi dia tidak pernah membuat sebarang laporan polis, tidak membuat sebarang laporan kepada pihak-pihak yang berwajib.


“Hari ini kita buat report, kita nak tengok adakah dakwaan beliau ini betul-betul dakwaan ‘genuine‘ (sahih) atau sekadar alasan beliau untuk menarik sokongan terhadap Sulaiman,” katanya kepada MHI di sini, hari ini.


Rohazam turut meminta supaya pihak polis melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut yang menimbulkan persepsi negatif hingga mengelirukan rakyat di negeri ini.


“Jadi ini yang kita nak rakyat jelas dengan keadaan sebenar yang berlaku di Melaka. Ini bukanlah sekadar cakap-cakap politik yang akhirnya menimbulkan persepsi mengelirukan rakyat dan akhirnya menimbulkan ketidaktenteraman, ini tidak bagus,” katanya.


Dalam pada itu, pihaknya turut membuat satu lagi laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik hantaran palsu berbaur fitnah sehingga merosakkan institusi kepimpinan kerajaan negeri.


“Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, semakin banyak penyebaran berita-berita palsu.


“Kita harap kerajaan dan pihak polis ambil tindakan tegas. Jangan ada sesiapa yang mudah untuk membuat persepsi, membuat fitnah, memburukkan sesiapa sahaja sama ada pada kerajaan atau mana-mana individu,” katanya.