top of page
  • newsatmy

Krisis Perak: Reaksi pemimpin Perikatan Nasional


Ekoran kegagalan menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu meraih sokongan terhadap usul percaya di dalam persidangan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini menimbulkan pelbagai reaksi dari beberapa tokoh pemimpin Perikatan Nasional.


Setiausaha Agung parti Bersatu, Hamzah Zainudin memaklumkan yang partinya ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak telah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan.


Tambah Hamzah, Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.


"Sehubungan itu, Bersatu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 4 ADUN Bersatu, 3 ADUN Pas, 1 ADUN UMNO dan 2 ADUN Bebas yang telah menyokong Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak.


"Bersatu akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama Pas dan teman-teman parti anggota Perikatan Nasional yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya," katanya lagi.


Dalam wawancara dengan Astro Awani pula, Faizal mengatakan bahawa dia selalu bertemu pemimpin Umno di mesyuarat kabinet dan mesyuarat lain, tetapi tidak menjangka akan digulingkan.


"Kami selalu berjumpa di perjumpaan exco dan perjumpaan dalam urusan kerajaan. (Saya) tidak difahamkan mengenai apa-apa permasalahan. Tapi mungking kerana kerusi menteri besar itu terlalu diidamkan (dan) hasil percaturan dibuat untuk menepikan saya," katanya.


Manakala Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata PAS tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di Perak.


Katanya, keputusan itu selaras dengan tindakan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang menyokong usul percaya terhadap Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.


“Maka selaras dengan keputusan tersebut, PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidakmenyertai usaha pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu,” kata Takiyuddin.


Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam memberikan reaksi segera kepada perkembangan mengejutkan di DUN Perak tengah hari ini berkata, kerajaan Perak sekali lagi bertukar teraju.


Ahli Parlimen Pasir Mas itu kemudian mengucapkan 'tahniah' kepada DAP Perak dan parti lain yang membolehkan Ahmad Faizal Azumu diketepikan daripada jawatan menteri besar.


"Tahniah DAP Perak dan parti-parti yang bekerjasama dengannya. Kerajaan Perak bertukar teraju pula," tulisnya di Facebook.


Setiausaha Agung Umno pula mempunyai pendirian yang janggal jika dinilai dari sudut dan perspektif senario politik semasa.


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak mesti dikekalkan, kata Ahmad Maslan.


"Semua exco kerajaan negeri juga mesti diteruskan.


“Umno juga berpendirian bahawa Bersatu dan PAS harus mendukung kerajaan PN negeri Perak," katanya.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman pula menyifatkan tindakan Adun-adun Umno di Perak yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ahmad Faizal Azumu sebagai satu pengkhianatan.


Dia berkata tindakan itu hanya mencetuskan ketidakstabilan politik yang mampu memberikan tempias terhadap kerjasama antara Perikatan Nasional dan BN di peringkat pusat serta negeri yang lain.


“Secara peribadi saya melihat tindakan Adun-adun Umno di Perak yang bersengkongkol dengan pembangkang khususnya DAP untuk menumbangkan menteri besar kerajaan mereka sendiri sebagai khianat persepakatan dan gilakan kuasa politik ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat wabak Covid-19.


“Ia tindakan mensabotaj dan tikam belakang ketika kerajaan sedang menghadapi saat getir untuk memulihkan negara.


“Ia juga menggambarkan bahawa ada sesetengah pemimpin dari Umno rela mengkhianati perpaduan ummah demi mahukan kuasa untuk puak mereka sahaja,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.


Nyatanya, krisis politik yang sedang melanda negara hari ini memberi gambaran jelas bahawa tiada apa yang mustahil dan besar kemungkinan keadaan yang berlaku di Perak boleh ‘berjangkit’ ke negeri lain termasuklah ke Sabah yang baru sahaja selesai menjalani Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.


bottom of page