top of page
  • Writer's pictureNihaba

Krisis UMNO, Mesyuarat cawangan Klebang kecoh

25 Oktober 2021

KLEBANG: Tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Utama Idris Haron yang menimbulkan kekecohan pada Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Klebang Kechil pagi tadi dianggap sebagai ‘gila talak’.


Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata perbuatan Idris itu seolah-olah mahu menunjukkan dirinya masih lagi dalam parti tersebut.


“Kejadian yang berlaku dalam mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kechil pagi tadi sepatutnya tidak berlaku jika Datuk Seri Utama Idris Haron tidak datang untuk bersama dalam majlis tersebut.


“Saya kira dia ini seolah-olah masih lagi berada dalam UMNO, orang tua-tua cakap seolah-olah dia ini gila talak.


“Apa yang dilakukan oleh Idris ini saya fikir satu keadaan yang amat luar biasa dan tidak mempunyai satu penelitian yang sebenar.


“Walaupun saya tahu majlis mesyuarat agung itu belum bermula, tapi perhimpunan ini sepatutnya dihadiri oleh ahli-ahli UMNO sahaja,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita kediamannya di Klebang Kechil di sini, hari ini.

Justeru, beliau menzahirkan rasa kesal dengan tindakan Idris itu yang seolah-olah tidak memahami prinsip sebagai orang yang pernah mengetuai sesuatu parti.


“Saya cukup kesal sebagai Ketua UMNO Bahagian, kekesalan saya kerana saya merasakan bahawa dia tak faham atau tidak mengerti prinsip sebagai orang yang mengetuai sesuatu parti.


“Kedua dia telah melakukan satu keadaan di mana meletakkan nilai diri dia (Idris) itu amat rendah.


“Mencampuri urusan parti UMNO sedangkan beliau sendiri bukan ahli UMNO, malah telah lucut keahliannya tatkala beliau meruntuhkan kerajaan pimpinan UMNO pada 4 Oktober lalu,” katanya lagi.

bottom of page