top of page
  • cik skod

Kualiti padang antara faktor kemenangan Harimau Malaya - Safee


KUALA LUMPUR, 30 Mac - Permukaan padang berkualiti tinggi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, jelas antara faktor membantu Harimau Malaya mencatat dua kemenangan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, baru-baru ini. Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali percaya keadaan padang yang baik seperti gelanggang keramat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu melonjakkan prestasi skuad negara sekali gus mencatat kemenangan dalam perlawanan disertai. “Sememangnya ada perubahan dari segi persembahan terutamanya serangan dan tekanan di bahagian depan serta keserasian antara pemain juga semakin baik namun apa yang penting keadaan padang baik. “Jika padang tidak baik, sukar untuk kita bermain. Jadi dengan kelebihan padang yang berkualiti, pasukan kita mampu pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui pada satu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) di sini, semalam. Malaysia yang dibimbing pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, memulakan kempen aksi persabahatan dengan mengatasi Turkmenistan, 1-0, pada 23 Mac sebelum menutup jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong, kelmarin (28 Mac). Sementara itu, Safee percaya kualiti dimiliki pemain tempatan seperti Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Mohamad Faisal Abdul Halim setanding dengan barisan pemain naturalisasi diturunkan antaranya Paolo Josue dalam dua perlawanan persahabatan tersebut.

Beliau yang juga Presiden PFAM berkata walaupun Muhammad Akhyar kurang bermain di peringkat kelab namun pengalaman beraksi bersama Harimau Malaya termasuk corak permainan intensiti tinggi sebelum ini benar-benar membantunya menyesuaikan diri dengan baik bersama pasukan negara.

bottom of page