• Arissa

Kukuhkan kebersamaan atau rakyat akan bertambah muak – Wan Saiful

14 Julai 2021

KUALA LUMPUR, 14 Jul — Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata jika orang politik terus bertelagah, rakyat akan muak dengan semua ahli politik secara keseluruhan walaupun sebenarnya yang bermasalah hanya satu kluster kecil sahaja.


Wan Saiful berkata perbezaan politik masing-masing wajar diketepikan dan mendahulukan keperluan rakyat dalam menghadapi krisis COVID-19.


“Saya rasa semangat kebersamaan sebeginilah yang sebenarnya dikehendaki oleh rakyat. Semua pihak berhenti bertelagah, dan tumpu kepada usaha memerangi Covid-19.


“Alangkah baiknya jika semua parti dan ahli politik dapat berkongsi semangat kebersamaan itu.


“Masa untuk bersaing dalam arena politik akan tiba pada PRU15 nanti. Tapi, sekarang, kita semua tumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dahulu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Wan Saiful turut menjelaskan bagaimana mesyuarat Ketua-Ketua Penerangan daripada 13 parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikendalikan setiap minggu menunjukkan semangat kebersamaan sesama mereka.


“Dalam kerajaan PN ada 14 parti. Daripada 14 parti itu, Ketua-Ketua Penerangan daripada 13 parti bermesyuarat setiap minggu. Kami mendengar penerangan daripada Menteri-Menteri dan ahli-ahli akademik.


“Antaranya, kami telah mendengar pembentangan daripada YB Khairy Jamaludin, YB Tan Sri Anuar Musa, dan YB Datuk Takiyuddin Hasan.


“Selain dengar pembentangan dari menteri, kami juga beri cadangan kepada mereka. Semua parti hanya ada satu tumpuan, iaitu jaga rakyat dan bina ekonomi.


“Semangat kebersamaan memang wujud di antara kelompok majoriti dalam kerajaan Perikatan Nasional,” jelasnya.


Dalam pada itu, Wan Saiful menyifatkan langkah kerajaan memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti adalah permulaan yang baik.


Ini kerana, katanya, semua wakil rakyat perlu memainkan peranan membantu rakyat.


“Kita tolak tepi lah kluster mahkamah yang ada agenda peribadi. Saya yakin rakyat nampak sifat hipokrit mereka yang terdesak mempergunakan jentera politik untuk selamatkan diri.


“Tetapi bagi yang lain-lain, bukankah lebih baik jika kita semua menangguhkan persaingan politik, dan bersama-sama membela rakyat dan membina ekonomi?


“Supaya kita semua #menangbersama.” katanya.




--PN Online