top of page
  • newsatmy

Lagu raya sempena norma baharu

2 May 2021

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri tidak meriah tanpa kedengaran lagu-lagu raya di corong radio. Biarpun diserang pandemik COVID-19, raya tetap diraikan dalam suasana norma baharu.


Bagi memeriahkan kehadiran Syawal, syarikat rakaman, Rocketfuel Records menampilkan lagu raya berjudul Aidilfitri Lembaran Baru.


Lagu ciptaan komposer S Atan dan lirik oleh pasangan serasinya, Siso Kopratasa itu menampilkan nama besar seperti Masya Masyitah, Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Usop dan Ruffedge.


Syamel yang menyambut ketibaan Syawal buat kali pertama sebagai suami kepada Ernie berkata, karya berkenaan bagai tepat dengan situasi semasa dilalui masa kini.


"Lagu Aidilfitri Lembaran Baru ini mengisahkan suasana menyambut kehadiran Aidilfitri dalam suasana norma baharu.


"Namun, ia masih mengekalkan mood keceriaan dengan semangat beraya yang sama seperti tahun sebelumnya.


"Ia umpama iktibar tatkala seluruh dunia diduga dengan pandemik COVID-19, namun sebagai pemangkin semangat bagi mengharungi dengan membuka lembaran baharu dalam kehidupan," kata Syamel.


Bagi Ernie, dia berharap lagu Aidilfitri Lembaran Baru ini dapat menyuntik semangat dan ukhuwah, biarpun tidak dapat meraikan Syawal dengan keluarga tersayang.


"Saya dan Syamel pernah merakamkan lagu raya duet menerusi sentuhan komposer yang sama, dua tahun lalu sebelum pandemik menjelma.


"Lagu Seru Hari Lebaran itu berentak inang. Ia sangat nostalgia. Tidak berbeza dengan lagu raya kali ini, ia juga mengamit memori dan kedengaran seperti malar segar," kata Ernie.


Bagi Azan mewakili kumpulan Ruffedge berkata, pengalaman kali pertama beraya dalam suasana pandemik memberi pengalaman berbeza, tahun lalu.


"Alhamdulillah, pengalaman tahun lalu mengajar kita bagaimana beraya ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila segala-galanya terbatas.


"Namun, saya bersyukur, kita masih diberikan kesihatan dan mampu beribadah dengan sempurna pada Ramadan yang penuh keberkatan ini.


"Tidak banyak persiapan yang dilakukan, cuma mengambil kira anak-anak yang masih ingin menyambut Aidilfitri dengan meriah. Raya kali ini lebih kepada media sosial, berbanding bersosial dari rumah ke rumah," kata Azan.


Sementara itu, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records, Feros Sayna berkata, janganlah jadikan alasan bersedih dalam apa juga situasi yang berlaku.


"Dalam keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik, kita jangan bersedih saat terpaksa menyambut raya dengan penuh kesuraman sekali lagi.


"Saya menaruh kepercayaan tinggi dengan gandingan komposer hebat S Atan dan Siso untuk menaikkan kembali semangat masyarakat menerusi lagu raya," katanya.


-Astro Awani

bottom of page