• newsatmy

Laksanakan segera undi 18 tahun: Anwar

30 April 2021

PORT DICKSON - Kelayakan pengundi 18 tahun telah diluluskan oleh Dewan Rakyat sejak satu setengah tahun lalu dan kerajaan sepatutnya sudah boleh melaksanakan perkara tersebut.


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan merealisasikan keputusan itu, memandangkan ia adalah keputusan sebulat suara setelah beberapa perbahasan dilakukan di dalam Dewan Rakyat.


Katanya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan akan mengusahakan agar perkara itu dilaksanakan dalam tempoh terdekat disifatkan sebagai tidak berkaitan.


“Keputusan telah dibuat dan diluluskan lebih satu setengah tahun yang lalu. Jadi tiada kaitan dengan apa menteri ini (Takiyuddin) katakan kerana arahannya adalah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan.


"Kalau mereka tidak mampu, sepatutnya mereka tidak boleh meneruskan tanggungjawab ini dan menyerahkan kepada orang lain yang mampu.


“Satu setengah tahun itu masa yang cukup untuk mengendalikan undi 18 dan keputusan sebulat suara di Parlimen dan dipersetujui semua ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Aplikasi Tuisyen Percuma Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini pada Khamis.


Takiyuddin menerusi satu kenyataan pada Khamis memberitahu, kerajaan komited melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.


Tambahnya, hal berkenaan telah dibincangkan dan disahkan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.


Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.


Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.


Pada 3 November tahun lalu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.


Melalui kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik.


Bagaimanapun pada 10 Mac lalu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuat kuasa Julai itu tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.


Rais dipetik berkata, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.


-Sinar Harian