top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Lantik barisan Kabinet yang tepat untuk tugas yang tepat - Penganalisis

24 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dianggotai oleh mereka yang cekap yang mengenali portfolio masing-masing dan bekerja untuk semua masyarakat di Malaysia, kata penganalisis politik Prof Madya Bridget Welsh.


Beliau berkata adalah penting untuk memiliki calon yang kompeten dalam kementerian utama seperti kewangan, kesihatan dan kesejahteraan sosial.


"Individu yang dilantik perlu tahu apa yang mereka lakukan dan tidak semestinya mempunyai pengalaman dalam kedudukan itu.


"Isunya ialah penjenamaan semula dan mewujudkan kerajaan yang lebih bersepadu.


"Justeru, dalam hal ini, Kabinet memerlukan anggota yang sedikit tetapi dengan individu yang tepat dalam tugas yang tepat," katanya pada program Midday Update terbitan Bernama TV di sini pada Isnin.


Siaran perbincangan selama 30 minit yang mengetengahkan topik mengenai pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan dan sambutan Hari Kebangsaan itu dihoskan oleh Jessy Chahal.


Welsh berkata pembentukan Kabinet akan menjadi ujian pertama untuk Ismail Sabri kerana beliau perlu menguruskan hubungan dinamik dengan Bersatu, perbezaan pendapat dalam UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan juga menawarkan beberapa kaedah konkrit kepada pembangkang.


Sementara itu, Pengasas Pusat Pengurusan Krisis Nordin Abdullah yang turut menjadi tetamu program itu berkata, tugas pertama yang mencabar bagi kepimpinan Ismail Sabri ialah pembentukan Kabinet, menguruskan bakat untuk melantik individu yang betul di tempat yang betul dan menugaskan mereka dengan segera.


Beliau berkata Ismail Sabri perlu memfokuskan kepada transformasi dalam mengurus dan mengendalikan krisis COVID-19 sebelum memberi tumpuan kepada pelaksanaan Undi 18 iaitu pembaharuan politik yang utama perlu dihadapi kerajaan baharu.


"Pandemik ini telah mewujudkan realiti yang membuatkan setiap keputusan itu kritikal dengan sedikit kesilapan. Terdapat peluang dan semestinya satu keperluan untuk membangunkan 'strategic calm' bagi membolehkan minda terbaik di negara ini menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi," katanya.


Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan Sabtu lepas berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 16 Ogos.



-- BERNAMA

bottom of page