top of page
  • newsatmy

Lebih 20 tan barangan keperluan untuk Orang Asal

Mohamad Kasir

PN Online News




Sukarelawan bersama pakaian dan barangan keperluan yang akan dihantar ke kawasan

perkampungan Orang Asli di Perak dan Kelantan dalam Program Amal Bundle

di Benut, Pontian, Johor.


PONTIAN : Lebih daripada 20 tan pakaian dan barangan keperluan berjaya dikumpulkan dalam Program Amal Bundle bagi membantu Orang Asli di beberapa kawasan pedalaman Gua Musang, Kelantan dan Gerik, Perak.


Beberapa jenis barangan keperluan dapat dikumpulkan antaranya pakaian, telekung, tudung, buku-buku, peralatan sekolah, kasut dan juga Al-Quran yang akan diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di beberapa kawasan tersebut.


Usaha ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, berikutan situasi yang dialami negara ketika ini.


Menurut Ahli Dewan Negara yang juga merupakan Yang Dipertua Badan Kebajikan Orang Asli Islam Malaysia (BKOA), Senator Dato' Isa bin Ab.Hamid, gandingan usaha 12 badan bukan kerajaan (NGO) berjaya mengumpulkan barangan tersebut di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Pontian, Benut dan Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Damansara, Selangor.


“Pada kali ini barangan yang dihantar ini amat diperlukan memandangkan mereka tidak dapat keluar disebabkan masalah perhubungan dan ditambah pula dengan penularan Covid-19.


“Sumbangan yang dikumpul ini akan dihantar ke lokasi terlibat dengan menggunakan kenderaan Jakoa pada minggu hadapan bagi membolehkan bantuan sampai dengan kadar segera.


“In Sha Allah, Mac tahun hadapan, sumbangan sama juga akan dihantar namun dalam bentuk makanan dan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, telur, sardin, biskut dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Pontian di Benut di sini semalam.


Beliau berharap, sumbangan tersebut dapat membantu memberikan keselesaan kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman serta sukar untuk dihubungi untuk sampai ke kampung mereka.


Sementara itu, Pengarah Jakoa Negeri Perak, Hairulnizam Abd. Rahman berkata, terdapat 49 perkampungan Orang Asli di Hulu Perak yang melibatkan kira-kira 11,200 penduduk.


Katanya, suku kaum Orang Asli yang tinggal di kawasan itu ialah Jahai, Lanoh dan Kintak yang memerlukan perhatian dan sokongan daripada pelbagai pihak ketika ini.


Pogram Amal Bundle ini merupakan projek usahasama melibatkan 12 badan bukan kerajaan (NGO) dipelopori YB Senator Dato' Isa bin Ab.Hamid, sebagai penganjur dan juga PN Online sebagai media rasmi.


bottom of page