• newsatmy

Lebih 69,000 pekerja asing di Sabah jalani saringan COVID-19

16 Februari 2021

KOTA KINABALU -- Seramai 69,088 daripada jumlah keseluruhan 115,157 pekerja asing yang bekerja di Sabah telah menjalani saringan COVID-19 setakat hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata daripada jumlah pekerja yang disaring itu, seramai 255 pekerja disahkan positif COVID-19.

"Tempoh operasi penguatkuasaan bagi majikan untuk melakukan ujian saringan kepada pekerja mereka di klinik-klinik berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah sehingga 28 Feb ini," katanya pada sidang media, di sini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri Sabah berkata sehingga hari ini seramai 2,621 daripada 8,369 majikan telah menunaikan tanggungjawab melakukan saringan terhadap pekerja asing mereka.

Sementara itu beliau berkata negeri Sabah buat pertama kali dalam tempoh lima bulan mencatatkan dua angka kes positif COVID-19 apabila hanya 97 kes positif baharu dilaporkan hari ini.

Bagaimanapun, Masidi berkata meskipun statistik kes baharu itu dilihat semakin stabil namun Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuat penilaian risiko secara berterusan sama ada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Sabah akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tamat tempoh pada 18 Feb ini. Masidi yang juga Menteri Kewangan II turut berkata negeri Sabah menyasarkan kira-kira tiga juta penduduk di negeri ini akan menerima vaksin COVID-19 menjelang Februari 2022.

-- BERNAMA