top of page
Writer's pictureArissa Azman

Lebih 98 peratus pekerja sektor pembuatan divaksin COVID-19 menerusi PIKAS

6 September 2021

KUALA LUMPUR: Lebih 98 peratus pekerja di dalam industri pembuatan yang berdaftar di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin wabak tersebut.


Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PIKAS mencatat prestasi yang amat baik dan membantu menyokong mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat Malaysia.


“Walaupun jumlah tenaga kerja dalam sektor pembuatan di dalam negara adalah lebih kurang 2.2 juta orang, namun harus diingat sebahagiannya telah mengambil suntikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan juga secara ‘walk-in’ (jumpa terus).


“Jadi daripada sejumlah 900,000 lebih yang dijadualkan untuk mendapatkan suntikan di bawah PIKAS, lebih 98 peratus telah disuntik dan ini satu pencapaian yang cukup baik,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi empat beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa serta nenek mereka akibat COVID-19 di Kampung Melayu Sri Gombak, pada Ahad.


Mohamed Azmin berkata kementeriannya menyasarkan untuk melengkapkan proses imunisasi kepada pekerja industri di bawah PIKAS selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini dan melihat kepada prestasi program itu, beliau yakin ia akan dapat dicapai.


Katanya, justeru pada mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, beliau telah memohon kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan supaya dapat menambah bekalan vaksin bagi program tersebut memandangkan sebahagian besar daripada pusat pemberian vaksin yang dibina oleh syarikat-syarikat menghadapi kekurangan bekalan.


“Saya telah mendapat jaminan daripada Dr Adham Baba (Menteri MOSTI) bahawa mulai bulan ini bekalan vaksin untuk PIKAS akan dipertingkatkan,” katanya.


Beliau berkata mempercepatkan proses vaksin COVID-19 dalam kalangan pekerja industri adalah amat penting kerana sektor pembuatan merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


“Berbeza dengan sektor lain, pekerja-pekerja industri terpaksa bekerja di tempat kerja, mereka perlu berada di lokasi, mereka tidak boleh bekerja di rumah, maka mereka terdedah kepada kemungkinan penularan COVID-19.


“Sebab itu saya mahu pekerja-pekerja ini dilindungi, diberi perhatian dan keutamaan untuk mendapat suntikan vaksin supaya mereka lebih selamat dan terjamin bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi kita dapat meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Comments


bottom of page