top of page
  • newsatmy

Letak jawatan Kabinet perlu keputusan bersama, kata MCA

29 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, peletakan jawatan dalam kerajaan oleh menteri dan timbalan menteri daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu dibuat secara bersama.


Kenyataannya menyusul gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya ahli parti itu, yang merupakan menteri, timbalan menteri atau pengerusi dalam syarikat berkaitan kerajaan, untuk segera melepaskan jawatan mereka.


Ditanya jika beliau sedia meletak jawatan, Wee yang juga menteri pengangkutan berkata: “Apa saja keputusan yang kami buat, ia perlulah secara kolektif.”


Pemimpin MCA lain yang berada dalam kerajaan ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Ti Lian Ker.


Wee berkata, MCA akan terus menyokong BN, sebagai pengasas perikatan parti.

“Kita mempunyai semangat setia kawan yang selama ini kita telah bina begitu lama.

“Apa juga tindakan yang kita lakukan, kita bermusyawarah, berbincang. Saya tidak mahu membuat sebarang ramalan kerana ianya berunsur spekulatif saja.


“Saya hanya membaca apa yang telah diluluskan (dalam Perhimpunan Agung Umno) dan lebih pada itu, saya rasa dalam politik, satu hari sangat panjang, kita tidak tahu apa akan jadi.”


Beliau berkata, berdasarkan usul bertulis yang diluluskan Perhimpunan Agung Umno, parti itu menyuarakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pilihan raya umum akan datang.


“Saya tidak berada di dalam dewan, saya tidak tahu apa yang dibincangkan.


“Saya hanya berpandukan ucapan dasar (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi dan usul bertulis yang telah diluluskan semalam.”


Sementara itu, MIC berkata, ia akan berbincang dengan akar umbinya sama ada mahu mengikut pendirian Umno untuk bersendirian pada pilihan raya umum ke-15.


Timbalan Presidennya, M Saravanan berkaya, mereka akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.


“Itu (letak jawatan dalam Kabinet) ialah pendirian Umno. Saya perlu berunding dengan MIC terlebih dulu, jika akar umbi bersetuju dengan keputusan itu,” katanya yang juga menteri sumber manusia.


Dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 hujung minggu lalu, Zahid mengumumkan BN akan menghadapi PRU15 bersendirian dan menegaskan pendiriannya ialah “No PPBM, no Anwar, no DAP”.


Bagaimanapun, Saravanan berkata, sebarang keputusan politik perlu mencerminkan aspirasi akar umbi.


Mengenai gesaan Zahid untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuhkan undang-undang syariah, Saravanan berkata, MIC tidak akan menerima cadangan sembarangan.


“Jika cadangan itu akan memberi peluang untuk menyatukan rakyat Malaysia, maka ada keperluan untuk mengkajinya sebelum MIC boleh menyokongnya.”


Zahid berkata, dua keputusan mahkamah baru-baru ini membabitkan isu berhubung kepercayaan Islam yang menyebabkan umat Islam sangat “tidak selesa” dan ada keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membetulkan keadaan.


Beliau merujuk keputusan hak bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” dan kerajaan Selangor dinafikan hak untuk menguatkuasakan mana-mana undang-undang jenayah syariah yang sudah menjadi undang-undang persekutuan.


Presiden Umno itu berkata, beliau lebih bimbang mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan keputusan Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan undang-undang syariah terhadap hubungan seks luar tabii kerana ia membabitkan keputusan dasar. -FMT

bottom of page