top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

LHDN kini boleh akses maklumat akaun bank pembayar cukai tanpa perlu mohon kebenaran

16 Disember 2021

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini dilaporkan tidak lagi memerlukan kebenaran pembayar cukai dalam mengakses maklumat butiran akaun bank mereka dari perbankan dan boleh memiliki maklumat itu secara terus untuk semakan atau siasatan.


Tindakan ini tertakluk di bawah pindaan baharu Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan yang diluluskan rang undang-undang kewangan 2021 di Dewan Rakyat semalam (15 Disember 2021).


Menurut laporan Sin Chew Daily, Seksyen 106A yang dicadangkan ini telah membolehkan LHDN menuduh pembayar cukai di mahkamah, seterusnya membenarkan LHDN meminta butiran akaun bank pembayar cukai sebaik perintah tahanan dikeluarkan.


Pihak bank juga tidak dibenarkan memaklumkan perkara tersebut kepada pembayar cukai.


Sekiranya bank melanggar peraturan seksyen ini, mereka boleh didenda antara RM200 ke RM200,000 dan penjara maksimum 6 bulan atau kedua-duanya sekali.


Jika dahulu, pembayar cukai perlu tandatangani borang kebenaran sebelum bank dibenarkan untuk kongsi maklumat tentang akaun mereka kepada pihak berkuasa. Namun kini perkara itu tidak perlu dilakukan lagi.


Akta PDPA tidak lagi terpakai


Bagi yang tidak tahu, Seksyen 106A ini adalah antara cadangan pindaan yang disenaraikan dalam rang undang-undang kewangan 2021 yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.


Ini juga bermakna Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) tidak terpakai pada penguatkuasaan seksyen tersebut kelak. Jika dahulu, perlaksanaan PDPA mengharuskan pihak bank mendapat kebenaran individu sebelum memberi butiran peribadi pembayar cukai kepada LHDN.


Ketika ini dianggarkan sekitar RM300 bilion jumlah pengelakan cukai telah dicatatkan di Malaysia.


Anggaran ini menyamai 19% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Kegagalan LHDN memiliki semula semua tunggakan cukai ini telah menjadi satu kerugian buat ekonomi negara.


LHDN juga berhak merampas asat pembayar cukai termasuk simpanan di bank sebaik mendapat perintah perundangan.

bottom of page