Liga Super:Dua pemain import dari Korea Selatan perkuatkan Tok Gajah
KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, mengesahkan pasukan Tok Gajah itu sempat menandatangani dua pemain import dari Korea Selatan sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pada 23 Februari lalu.
Dua pemain berkenaan ialah pemain tengah, Lee Ji Yong, dan pertahanan, Lee Jeong Geun.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Singapura itu mengakui perlu melakukan penilaian terlebih dahulu mengenai kemampuan kedua-dua pemain itu sebelum membuat keputusan sama ada mereka akan diserap ke dalam skuad utama atau akan bersama skuad liga simpanan. "Saya juga tidak tahu bagaimana untuk memberikan komen kerana mereka datang pada waktu akhir, sewaktu kami menjalani latihan dan saya pada awalnya fikir tidak mungkin akan sempat untuk mendaftarkan mereka.
"Tetapi segala-galanya berlaku dengan amat cepat.
"Seorang pemain muda, yang bermain di bahagian sayap, mungkin akan bermain bersama pasukan simpanan tetapi dia bagus dan mempunyai kepantasan.
"Yang seorang lagi merupakan pertahanan tengah yang boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan," katanya.
Sri Pahang memulakan saingan Liga Super 2023 dengan terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada Ahad.
Comments